Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bicara kes cerai secara tertutup perlu diperluas ke negeri-negeri lain'

Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) menyokong perbicaraan kes penceraian diadakan secara tertutup seperti yang akan dilaksanakan Mahkamah Syariah di Perlis bermula Julai ini.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah itu sewajarnya dicontohi negeri-negeri lain dan perlu diperluaskan tidak semata-mata kepada kes penceraian sahaja.

"Malah bukan sahaja melibatkan kes cerai, tetapi juga dalam kes yang melibatkan kanak-kanak seperti hak jagaan, lawatan injunksi dan lain-lain juga perlu dibicarakan secara tertutup bagi menjaga kebajikan kanak-kanak.

"Tak perlu ada senarai nama kes yang terang-terang meletakkan nama penuh pasangan ataupun disebut dalam penghakiman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Terdahulu, Istana Arau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.

Menurut kenyataan itu keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya membabitkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ghibah dan boleh membawa kepada fitnah.

Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam menegaskan kewajiban menutup aib peribadi seseorang yang tidak boleh diketahui dan diulas oleh pihak lain untuk dimanipulasikan.

"Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka ambil tahu atau memberi komentar," katanya.

Sementara itu Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamed turut berpandangan langkah diambil negeri Perlis itu perlu diperluaskan di negeri-negeri lain membabitkan undang-undang kekeluargaan.

"Dalam undang-undang keluarga (family law) ada perkara yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum membabitkan bahan perbincangan kerana ia tidak bersesuaian dengan kehendak Islam.

"Perlu ada keadah-kaedah yang boleh difikirkan untuk menjadikan perbicaraan secara tertutup tetapi pihak yang terlibat bersikap lebih terbuka dan jujur semasa sesi perbicaraan," katanya.

Tambahnya, keadaan itu akan membolehkan seseorang hakim membuat keputusan lebih adil terhadap sesuatu kes yang perlu dihakimi.

"Misalnya apabila secara terbuka dengan kehadiran orang awam, pihak yang terlibat mungkin masih bersikap untuk menjaga sesuatu yang bersifat aib atau menjaga air muka seseorang di depan khalayak awam.

"Sebaliknya jika perbicaraan secara tertutup, penghujahan dan penjelasan pihak yang terlibat akan lebih berterus-terang. Mereka tidak bimbang orang awam akan tahu hal-hal mengaibkan.

"Ini akan memberi peluang perbicaraan berjalan dengan lebih jelas, jujur dan hakim boleh membuat keputusan lebih adil," kata Mohamad Shukri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS