Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kuat kuasa larangan merokok di kedai makan segera - Pakar

Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menguatkuasakan undang-undang kawalan produk dan tembakau secepat mungkin, kata pakar-pakar kesihatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan larangan merokok di semua premis kedai makan baru-baru ini tidak membawa sebarang makna jika tiada penguatkuasaan dilakukan.

“Dari segi mandat perundangan, KKM sudah disahkan mempunyai kuasa untuk melaksanakan larangan tersebut.

“Bagaimanapun, ketika ini penguatkuasaan undang-undang tersebut tidak berapa ketara dan perokok serta tuan punya premis macam tak kisah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zainal berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 20 Jun lalu yang menolak permohonan kebenaran oleh tujuh individu untuk merayu keputusan mahkamah rayuan tahun lalu mengenai larangan merokok di premis kedai makan.

Mahkamah tertinggi itu memutuskan merokok di tempat awam bukan hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Perlu kerjasama semua pihak

Mengulas lanjut, Zainal berkata KKM juga perlu lebih agresif dalam membuat pemantauan dan mengambil tindakan dengan kerjasama semua pihak bagi membendung tabiat buruk itu.

“KKM kena bertindak lebih banyak dan visible, selain sangat memerlukan kerjasama orang ramai dan pihak berkuasa tempatan.

“KKM tak dapat jalankan sepenuhnya (penguatkuasaan) kerana kekangan pegawai dan (pengawasan) kawasan yang luas, justeru orang ramai boleh lapor melalui aplikasi Whatsapp KKM,” katanya.

Sementara itu, pakar Sakit Tuan dan Kesihatan Reproduktif, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi berkata dia amat gembira kerana keputusan berkenaan dapat membendung amalan yang memudaratkan kesihatan.

“Malah penguatkuasaan perlu diperhebatkan lagi supaya perokok ini tidak sewenang-wenangnya merokok dalam kedai makan dan berdekatan,” tegasnya.

Mohd Ismail berkata, dia pernah beberapa kali berselisih faham dengan perokok ketika cuba menasihatkan mereka agar tidak merokok di kawasan larangan merokok.

“Justeru, saya sangat berharap berita baik ini dapat disebar secara meluas di merata-rata tempat dan si perokok ini juga perlu sedar yang mereka perlu akur dengan undang-undang serta tidak bersikap kurang beradab,” katanya.

Bagi penyelaras Inisiatif SmokeFreeMy, Sha’ani Abdullah, dia mengingatkan bahawa Malaysia menjadi negara pihak (party) kepada Konvensyen Rangkerja Kawalan Tembakau (FCTC).

“Antara langkah-langkah untuk mencegah pendedahan kepada asap rokok adalah larangan merokok secara berperingkat di tempat-tempat awam.

“Ini telah bermula dengan larangan merokok di semua premis kerajaan secara Pekeliling JPA pada tahun 1983, melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang dipinda untuk meliputi tempat-tempat awam dilarang merokok,” katanya.

Menurut Sha’ani sejak 1986 bancian kadar tabiat merokok di kalangan penduduk Malaysia kekal tinggi sekali gus menunjukkan proses pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan tidak membawa tahap pematuhan yang diinginkan.

Katanya, penguatkuasaan larangan merokok di premis kedai makan yang diperkenalkan pada awal 2018 juga diihat kurang memuaskan.

“Premis-premis kerajaan juga masih ada kakitangan dan pegawai-pegawainya merokok,” ujarnya.

Justeru dia percaya kemasukan peruntukan Generasi Penamat (GEG, Generational Endgame) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dapat mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini.

RUU berkenaan bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Pada 26 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyifatkan ia satu kejayaan buat kementerian itu apabila mendapat sokongan kabinet untuk membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Dr Zaliha berkata KKM juga memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baru, yang disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional, tetapi juga rokok alaf baru termasuk rokok elektronik serta rokok 'combustible'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS