Paling Popular
Terkini

KOMENTAR | Imam Ghazali rahimahullah menganggap perbuatan memfitnah sebagai salah satu dosa besar dalam Islam. Pada pandangannya memfitnah akan merosakkan persaudaraan, memecah belah masyarakat, dan menimbulkan kebencian sesama muslim.

Dalam kitab masyhurnya, Ihya Ulumuddin, dia menekankan pentingnya menjaga lisan (dan penulisan) serta menghindari fitnah serta ghibah. Kitab itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai Revival of the Religious Sciences.

Imam Nawawi rahimahullah pula melalui kitabnya Riyadhus Solihin menyatakan memfitnah adalah perbuatan yang sangat tercela dalam Islam.

Dia menggariskan bahawa memfitnah adalah perbuatan yang melibatkan mencaci-maki, memburukkan reputasi seseorang tanpa alasan yang sah, atau menyebarkan khabar angin palsu yang merosakkan nama baik seseorang.

Ibn Taymiyyah rahimahullah pula menekankan memfitnah adalah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang asasnya mendorong untuk manusia menyebarkan kedamaian, perpaduan, dan kebaikan.

Dia juga menekankan pentingnya memeriksa kebenaran sesuatu khabar sebelum menyebarkannya agar ia tidak merugikan seseorang, seperti nukilannya dalam Majmu' al-Fatawa dan Al-Jawab as-Sahih.

Nama ketiga-tiga ulama itu sering meniti bibir para asatizah di negara ini. Dua daripada tokoh besar tersebut bermazhab Syafie, manakala seorang lagi Hanbali.

Mereka adalah ulama yang menghasilkan karya pelbagai bidang termasuk soal akhlak zahir dan batin Muslim. Hampir tiada asatizah yang tidak kenal mereka bertiga atau sebahagiannya walaupun secara ringkas.

Lebih utama dari jihad

Maknanya pengaruh Imam Ghazali, Imam Nawawi dan Ibn Taimiyyah sangat menebal dalam kehidupan beragama dan dalam pengajian ilmu Islam.

Mereka menolak amalan fitnah atau menyebar berita palsu serta tingkah laku seumpamanya seperti petikan dan kupasan di awal tadi. Itulah ajaran Islam yang sebenar dan hakiki.

Itulah juga yang diajar oleh para asatizah dan ulama kepada masyarakat.

Namun, kenapakah fitnah dan sebaran berita palsu masih lagi menjadi amalan paling trending dalam dunia politik umat Islam di negara ini?

Persoalan ini sudah lama berlegar dalam dunia media sosial kerana ramai orang yang tidak senang dengan apa yang berlaku. Bayangkan ngerinya situasi kita apabila fitnah itu bahkan disebarkan oleh pihak yang sepatutnya mencegah dan menghalang fitnah serta berita palsu.

Keadaan ini tidak berubah walaupun umat Islam sedang memasuki tempoh masa khusus yang sangat afdhal iaitu hari-hari awal Zulhijah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan, amalan soleh sepanjang 10 hari itu sangat tinggi kedudukannya, malah lebih utama berbanding jihad.

Hari-hari sebelum acara sembelihan korban diadakan, umat Islam digalakkan meningkatkan amal soleh dengan pelbagai cara termasuk menunaikan puasa sunat dan bersedekah.

Lebih parah, asatizah yang diharapkan menjaga agama pemuda dan remaja yang mudah hanyut dengan dunia terbuka, lebih galak pula untuk memanjangkan lidah fitnah dan berita palsu.

Gambar fail

Sebagai contoh, baru hari ketiga Zulhijah umat Islam Malaysia dikejutkan dengan berita kononnya jawatan pengerusi Felda diserahkan kepada seorang pemimpin wanita DAP berketurunan Cina.  

Ia sudah tentu sesuatu yang tidak masuk akal tapi di sana sini ada sesetengah manusia yang lebih gemar menjadi peniup bara kebencian dan perkauman berbanding menyelidiki kebenaran.

Malah ada antara yang mempercayai sepenuhnya berita fitnah itu ialah indvidu yang bergelar ustaz dan gemar berjubah dan berserban. Ia menjadi lebih parah apabila penampilan individu itu menjadi neraca buat orang awam untuk menganggap ia adalah fakta.

Apakah faktor atau dorongan yang menjerumuskan para asatizah politik ke kancah fitnah dan berita palsu?

Hanya merosakkan agama

Ia merupakan suatu persoalan yang terbuka kepada banyak jawapan. Tidak semua kejadian atau tempat menyaksikan faktor yang sama.

Saya cuba menyentuh beberapa faktor yang saya fikir memberi sumbangan kepada penerusan kerja kotor itu.

Cita-cita tinggi: Dalam dunia politik, terdapat pemimpin pertengahan dan atasan yang cita-cita untuk mendapatkan kekuasaan serta pengaruh. Mereka mungkin tergoda dengan kuasa politik dan memilih menggunakan fitnah sebagai alat untuk mencapai tujuan tersebut.

Mereka sengaja menyebarkan informasi palsu atau merendahkan lawan politik untuk memperoleh sokongan dan meningkat nama serta prestasi.

Fanatisme politik: Tidak ketinggalan juga peranan taasub dan walak yang salah. Ahli dan pemimpin parti yang sangat fanatik dalam keyakinan politik mereka memang mudah diperangkap dengan fitnah.

Mereka mungkin percaya bahawa apa yang diperjuangkan itu adalah untuk tujuan yang benar, justeru secara tidak langsung terpaksa menerima fitnah sebagai alat yang sah untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Ia benar-benar merosakkan Islam jika balutan agama digunakan untuk menutup sikap fanatik mereka.

Manipulasi politik: Dalam dunia politik, manipulasi informasi dan fitnah sering digunakan sebagai strategi mempengaruhi pandangan awam. Matlamatnya adalah untuk merosak reputasi lawan politik semaksimum mungkin.

Bahkan individu yang berlatar pendidikan agama pun - pada situasi tertentu - terdedah kepada kaedah tersebut. Mereka mungkin terlibat dalam amalan fitnah serta sebaran berita palsu.

Sudah tentu ia termasuk dalam lingkungan amalan politik yang korup.

Namun, penting untuk dicatat bahwa perilaku hodoh lagi jahat itu tidak mewakili Islam.

Agama kita mengajarkan nilai-nilai kebenaran, keadilan, kesolehan, dan menghindari fitnah.

Fitnah dalam politik atau dalam konteks lain tetap merupakan perilaku yang tidak dibenarkan dan bertentangan dengan prinsip agama yang sejati, waima ia dilakukan oleh orang parti agama.

Marilah kita sama-sama mengambil insaf sedalam-dalamnya. Walau siapapun kita, apa parti yang disertai, dan jawatan apa yang dipegang, Islam adalah milik Allah yang dianuti oleh semua umat Islam.

Ia bukan milik mana-mana parti sehingga ahlinya boleh memfitnah sebebas-bebasnya tanpa terfikir akan proses muhasabah yang pasti di akhirat nanti.

Zulhijah adalah bulan mulia apabila umat Islam dikerah untuk memperbanyak amalan soleh, menyembelih binatang korban, berpuasa dan menyambut Aidiladha.

Mungkin cita-cita korban paling bermanfaat pada kali ini ialah mengorbankan nafsu dalam diri untuk tidak lagi terlibat dengan amalan menyebarkan fitnah.


OMAR MOHAMED ELBARITI ialah pembaca Malaysiakini yang aktif di akaun Facebook dan sering berkongsi pandangan politik dan pengajaran agama melalui siasah syariyyah untuk Malaysia yang lebih baik, harmoni dan rahmah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS