Paling Popular
Terkini

Muda mengumumkan bahawa ia akan bertanding sendiri di semua enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa mereka beranggapan dua blok politik sedia ada tidak mencukupi.

"Muda akan bertanding dalam PRN menggunakan kekuatan parti politik sendiri," kata Syed Saddiq pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Oktober lalu, Muda menyertai pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-15.

Pada masa itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Muda tidak dijadikan sebagai parti komponen kepada pakatan pembangkang ketika itu kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sebelum itu, parti itu turut bekerjasama dengan DAP dan Amanah untuk pilihan raya negeri Johor 2022.

Ketika disoal, sama ada pergeseran dengan PH ada kaitan dengan rundingan peruntukan kerusi, Syed Saddiq menafikan perbincangan seumpama itu berlaku antara gabungan itu dan Muda.

“Sebab itu Muda membuat pendirian untuk fokus kepada politik baru.

“Tiada guna kita diberi kerusi, jawatan dalam kerajaan atau jawatan selepas pilihan raya negeri, tetapi kemudian perjuangan rakyat dilupakan,” tambahnya.

Syed Saddiq mengecam bekas sekutu mereka yang menurutnya mengingkari janji pilihan raya apabila memegang kuasa, dengan menyatakan bahawa jika mereka mengekalkan mandat yang dicadangkan, Muda tidak perlu bertanding dalam PRN.

Dia menjelaskan bahawa "politik baharu" yang akan dibawa Muda akan melangkaui parti, dan akan berkisar kepada keperluan dan prinsip rakyat.

Sementara itu, Syed Saddiq mendedahkan pengarah dan timbalan pengarah parti masing-masing ialah ketua penerangan Luqman Long dan exco pusat Ainie Haziqah.

Dia juga berkata bahawa kempen politik Muda terutamanya akan bersifat maya, seperti menganjurkan siaran langsung dan sesi townhall dalam talian di media sosial.

Bagaimanapun, tambah Syed Saddiq, masih ada usaha kempen di semua enam negeri iaitu di luar bandar tanpa sambungan internet.

Syed Saddiq juga mengelak daripada mendedahkan status rundingan peruntukan kerusi dalam parti, dengan menyebut butiran ini akan diumumkan secara berperingkat semasa tempoh kempen mereka.

Lihat Komen
ADS