Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM bentang cadangan skim warga emas tanpa pencen pada Nancy
Diterbitkan:  Jun 26, 2023 5:15 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

PSM membentangkan memorandum dan kertas penyelidikan mengenai keperluan skim warga emas yang tidak mempunyai pencen kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri hari ini.

Menggelarnya sebagai kertas dasar “perlindungan sosial untuk warga emas”, parti itu mencadangkan golongan yang berumur 65 tahun ke atas, yang tidak menerima pencen, dibayar RM500 sebulan.

Parti itu juga mencadangkan belanjawan Kementerian Kesihatan dinaikkan daripada 2.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini, katanya, supaya kemudahan dapat disediakan kepada rakyat Malaysia termasuk warga emas.

Selain itu, PSM berkata Pelan Tindakan Kebangsaan Warga Emas juga perlu diperkasakan melalui sesi dialog bersama kumpulan NGO dan orang ramai.

“Nisbah rakyat Malaysia berumur 65 tahun ke atas ialah 2.4 juta atau 7.3 peratus orang sekarang. Nisbah ini dijangka meningkat kepada 11 peratus menjelang 2030 dan 14.5 peratus pada 2040.

“Ramai rakyat Malaysia berdepan pelbagai isu termasuk dari segi kewangan, ketiadaan sumber pendapatan atau simpanan mencukupi untuk membiayai kos sara hidup mereka selepas mencapai umur 65 tahun.

“Mereka juga menghadapi cabaran dalam sektor kesihatan di mana mereka terpaksa berhadapan dengan kelewatan mendapatkan rawatan di hospital awam akibat kesesakan dan peningkatan kes, kekurangan doktor pakar dan peralatan perubatan,” katanya hari ini.

Oleh itu, PSM telah menyeru Nancy untuk membentangkan cadangan itu pada mesyuarat kabinet untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024.

Memorandum itu, yang diserahkan kepada Nancy oleh Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar, diperakui oleh NGO lain - Aliran, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pengguna ERA, Family Frontiers Malaysia, Gabungan Marhaen, Gabungan Peneroka Bandar, Insiatif Ekuiti Kesihatan, Pemuda Sosialis, Saya Anak Bangsa Malaysia, Seniors Aloud, dan Sisters in Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS