Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu selar Majlis Perbandaran Kota Bharu 
Diterbitkan:  Jun 26, 2023 6:30 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Seorang pemimpin Bersatu tampil menyelar tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam kerana memakai seluar pendek.

Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif menegaskan tindakan itu adalah terpesong dan menyalahi undang-undang.

Menurutnya keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenakan kompaun ke atas wanita itu kerana melakukan kesalahan di bawah 34(2)(b) Undang-undang Kecil Perniagaan dan Perindustrian 2019 adalah terbatal.

Jelas Sasha, ia melebihi kuasa yang diberikan kepada majlis di bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat undang-undang kecil.

“Seksyen 102 hanya membenarkan PBT melaksanakan undang-undang kecil berkaitan ‘kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan’.

"Tiada kuasa diberikan untuk mengawal pakaian atau moral," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walaupun enakmen syariah boleh mengawal pakaian orang Islam katanya, PBT tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan kompaun yang dikenakan kepada pemilik kedai wanita bukan Islam itu adalah terbatal dan menyalahi undang-undang.

“Langkah terbaik untuk PBT itu ialah membatalkan kompaun dan menggantung penguatkuasaan Seksyen 34(2)(b) sementara menunggu semakan oleh pihak berkuasa negeri atau exco,” kata Sasha.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan wanita 35 tahun yang juga pemilik kedai pakaian dikompaun susulan pemeriksaan mengejut MPKB di kedainya di Jalan Merbau, Kota Bharu.

Yang Dipertua MPKB Rosnazli Amin berkata wanita tindakan itu dibuat bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985

Katanya, undang-undang itu telah lama berkuat kuasa, termasuk terhadap bukan Islam.

Sementara itu Sasha menegaskan peraturan yang dikenakan ke atas wanita Islam supaya menutup aurat mereka tidak boleh dikenakan kepada bukan Islam.

“Perkataan ‘sopan’ dalam Seksyen 34(2)(b) adalah kabur dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.

"Adalah tidak adil untuk mengenakan denda kepada wanita itu apabila takrifan kesalahan itu tidak jelas,” jelasnya.

Tambahnya lagi berkata hukuman yang dikeluarkan PBT itu adalah "tidak perlu" dan "boleh menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama".

“Apa pun, sama ada pakaiannya tidak senonoh atau tidak adalah perkara subjektif.

"Untuk mengesahkan bahawa pakaian itu 'tidak senonoh' pastinya memerlukan beberapa tahap kelucahan yang lebih daripada sekadar berpakaian kemeja-T dan seluar pendek. Contohnya seperti separa bogel. Ini jelas tidak berlaku di sini.

"Ia juga boleh dianggap sebagai tidak adil kerana ia nampaknya mensasarkan wanita secara rambang,” kata Sasha.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS