Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia akan membangkitkan isu penipuan inisiatif e-Tunai Belia Rahmah semasa mesyuarat kabinet esok.
Kenyataan itu dibuat selepas wujud laporan bahawa penerima program bantuan tersebut menjadi mangsa penipuan dengan cubaan untuk mengeluarkan kredit RM200 yang diterima.
"Kami sedang menunggu sedikit maklumat daripada Kementerian Kewangan.
"Insya-Allah, esok ada mesyuarat jemaah menteri, saya akan cuba mendapatkan sedikit maklumat awal supaya kita boleh teliti mungkin sekiranya ia hanya melibatkan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) ataupun ada aspek-aspek lain atau agensi-agensi lain ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Hari Penghargaan Kurier di Putrajaya hari ini.
Ahad lalu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis menerima 14 aduan penipuan e-Tunai Belia Rahmah membabitkan kerugian RM2,800.
Kata Ramli sindiket itu menawarkan perkhidmatan memindahkan wang dari akaun e-dompet Touch n Go ke akaun bank mangsa.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kementerian Kewangan juga mengeluarkan amaran kepada semua penerima agar tidak mendedahkan diri mereka kepada risiko penipuan dengan cuba menunaikan kredit RM200 yang diterima.
Sementara itu Fahmi berkata Malaysia tidak akan mengikut langkah Australia mempertanggungjawabkan sesebuah syarikat kerana gagal menghapuskan maklumat salah atau mengelirukan dari platform mereka.
Sebaliknya, menurut Fahmi, libat urus secara konsisten akan dibuat dengan syarikat gergasi media sosial bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Buat waktu ini, kerajaan belum ke arah itu kerana kami mengadakan hubungan secara konsisten dan proaktif, sama ada TikTok, Twitter, Meta dan terkini Grab.
"Petang ini juga kami akan bertemu dengan Meta selepas menerima aduan daripada Bursa Malaysia bahawa identiti ketua pegawai eksekutifnya Muhamad Umar Swift disalahgunakan," katanya.
Australia baru-baru ini mencadangkan undang-undang untuk mengenakan kod baharu ke atas syarikat yang berulang kali gagal memerangi maklumat salah atau mengikut "standard" industri untuk memaksa platform digital mengalih keluar kandungan berbahaya.
Penalti maksimum bagi pelanggaran kod sistemik ialah A$2.75 juta (RM8.5 juta) atau 2 peratus daripada perolehan global, mengikut mana-mana angka yang lebih tinggi.
