Dikemas kini dengan tambahan maklum balas Tang Qi Yau.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, tengah hari ini tampil memohon maaf kepada seorang pencipta kandungan YouTube selepas berkongsi hantaran dan didakwa memberi gambaran salah.
Menegaskan enggan berkonfrontasi dengan pencipta kandungan terbabit, Ahmad Fadhli berkata, dia bahkan meraikan daya kreativiti yang ada pada hantaran berkenaan.
"Saya tidak ingin berkonfrontasi dengan pemilik video terbabit bahkan meraikan daya kreativiti yang ada pada beliau.
"Saya berharap beliau terus menghasilkan video-video sebegini dan menyemarakkan industri kreatif dunia maya dalam negara kita.
"Walau bagaimanapun saya memohon maaf jika terdapat sebarang kesulitan dihadapi oleh beliau berikutan isu ini," kata ahli parlimen Pasir Mas itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Terdahulu seorang pencipta kandungan di YouTube, Tang Qi Yau, membuat laporan polis mendakwa Ahmad Fadhli mengambil hantarannya untuk dikongsi di media sosial tanpa kebenaran.
Dia yang juga pemilik saluran Ah Yau Talks Politics turut mendakwa tindakan Ahmad Fadhli itu memberi gambaran yang salah terhadap kandungan yang dihasilkannya.
Elak salah faham berpanjangan
Antara lain Tang mendakwa tindakan dibuat Ahmad Fadhli boleh menyebabkan dia dianggap sebagai penyokong PN.
Pada 1 Julai lalu, Tang memuat naik video tinjauannya dalam kalangan orang Melayu di Rembau, Negeri Sembilan berhubung peluang Umno dalam PRN nanti.
"Dia telah menggunakan video saya dengan menggunakan kapsyen seperti mempromosi (PN) dan menyebabkan saya bimbang sekiranya beberapa individu salah faham terhadap video tersebut.
"Tujuan laporan polis dibuat untuk menegaskan video tersebut telah disiarkan tanpa kebenaran saya dan untuk rujukan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.
Ahmad Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS menjelaskan pada asalnya kandungan video Tang dimuat naik sepenuhnya dan turut disertakan pautan asal sebagai kredit kepada pemiliknya.
"Kandungan di TikTok tidak dapat disiarkan penuh kerana limitasi 10 minit yang dikenakan oleh TikTok.
"Bagaimanapun, video itu telah saya turunkan agar tidak mendatangkan salah faham berpanjangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhli berkata dia telah mendapat pandangan peguam berhubung isu berkenaan dan mendapati ia bukan satu kesalahan.
Katanya ia juga tidak dilindungi oleh mana-mana hak cipta bahkan tiada sebarang pelindungan dikenakan oleh pemiliknya jika ada mana-mana pihak ingin berkongsi kandungan tersebut.
"Beberapa pihak di Negeri Sembilan juga telah mengenal pasti salah seorang yang ditemu ramah yang sedia tampil membuat tindakan undang-undang ke atas pemilik video atas dakwaan menyiarkan wajahnya tanpa kebenaran jika perkara ini berlanjutan di meja undang-undang," katanya lagi.
Terima kasih, kata Tang
Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Tang berterima kasih kepada Fadhli kerana memadam video itu.
Susulan itu, dia berkata tidak akan mengambil tindakan undang-undang.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Fadhli kerana padam video di TikTok itu, yang mengelakkan salah faham berpanjangan.
“Bagaimanapun video penuh di Facebook, ia dimuat naik bersama pautan. Saya percaya ia tiada masalah, jadi saya tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya.
