mk-logo
Berita
EIA: Lapangan terbang Tioman lebih besar, terumbu karang dipindah

Cadangan Lapangan Terbang Baru Antarabangsa Tioman (NTIA) akan menyebabkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan habitat terhadap ratusan spesies hidupan marin di pulau itu yang sepatutnya menjadi taman laut yang dilindungi.

Menurut penilaian kesan alam sekitar (EIA), terumbu karang seluas 11.25 hektar dan kawasan substrat (permukaan bagi) hidupan laut seluas 12.36 hektar terletak di dalam sempadan projek, yang akan ditebus guna untuk pembangunan lapangan terbang atau terjejas oleh aktiviti penambakan.

Berdasarkan pelan pemuliharaan laut, penyokong projek itu - Tioman Infra Sdn Bhd - mencadangkan kawasan terumbu karang dalam kawasan projek itu ditebus guna dan terumbu karang akan ‘dipindahkan’ ke pulau berdekatan.

EIA yang dikemukakan baru-baruini mengenal pasti 121 spesies karang keras dan 11 spesies karang lembut di kawasan itu.

Berdasarkan Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemeliharaan Alam Semulajadi (IUCN), kebanyakan batu karang yang dikenal pasti dalam EIA telah dikategorikan sebagai "hampir terancam". Dua spesies disenaraikan sebagai "sangat terancam pupus", satu "terancam" manakala 19 spesies lagi dalam kategori "rentan".

Hanya terumbu karang di bawah kategori "rentan" akan menjadi tumpuan kerja-kerja pemindahan ke tapak semaian atau tapak pembiakan alternatif.

“Penyokong projek akan terus memantau kawasan terjejas dan juga di kawasan penempatan semula karang.

“Pembinaan lapangan terbang menuntut penempatan semula terumbu karang dalam kawasan penambakan projek. Bagaimanapun, program off-set harus disasarkan dengan hanya spesies karang tertentu yang akan diberi keutamaan dan pemulihan demografi termasuk prosedur untuk menambah terumbu dengan genotip (komposisi ciri genetik) sedia ada,” katanya.

Kemusnahan ekologi

Selain itu, sebanyak 125 spesies ikan daripada 24 keluarga direkodkan, 22 spesies rumput dan rumpai laut serta alga, selain menjadi habitat tujuh spesies mamalia dan beberapa spesies penyu.

Laporan itu menyatakan berdasarkan penilaian impak terhadap fasa pengkuarian dan penambakan bagi tujuan pembangunan NTIA, hidupan marin yang terjejas akan menyebabkan kehilangan perkhidmatan ekosistem, peningkatan sedimen dan kekeruhan yang merosakkan terumbu karang serta tumpahan minyak yang akan menyebabkan pencemaran toksik dan pengurangan oksigen terlarut dalam air.

“Fasa pembinaan akan menyebabkan pencemaran bunyi dan getaran, yang akan memberi tekanan dan mengubah tingkah laku hidupan marin.

“Tambahan pula, dalam fasa operasi, pencahayaan buatan akan mengganggu aktiviti fotosintesis terumbu karang, ancaman pencemaran air dan perubahan corak hidrodinamik serta perubahan atau impak yang terhasil daripada pembangunan projek boleh menjejaskan pemulihan habitat,” katanya.

Sementara itu, EIA menyatakan terdapat penampakan penyu berhampiran Kampung Paya di sebelah utara tapak projek dan seekor penyu tempayan telah dikesan semasa tinjauan lapangan, menunjukkan kemungkinan kehadiran haiwan terancam itu.

Kawasan utama sarang penyu terletak di utara tapak projek di Pulau Coral dan di sebelah timur Pulau Tioman di Kampung Juara.

EIA menyatakan tempat makan penyu boleh berkurangan di kawasan projek disebabkan oleh aktiviti penambakan, sambil menambah bunyi bising dalam air yang bingit semasa pembinaan boleh mengelirukan mereka.

Gambar hiasan.

“Trafik kapal yang padat boleh menyebabkan kecederaan akibat hentakan kipas atau bahkan menyebabkan kematian akibat berlanggar dengan kapal.

“Penyu mungkin menjadi keliru apabila terdapat lebih banyak sumber cahaya yang menyebabkan mereka pergi lebih jauh ke pendalaman laut.

“Sisa buangan yang dibuang ke dalam laut, terutamanya bahan plastik boleh menjerat penyu atau menjerutnya, mungkin membawa kepada kematian mereka.

Penyu juga diketahui memakan plastik kerana percaya ia obor-obor yang merupakan antara diet mereka,” katanya.

Gambar hiasan.

Laporan itu mendakwa Kampung Genting dan Kampung Paya - dua kampung yang paling terjejas oleh projek itu (lihat peta interaktif di atas untuk lokasi) - tidak begitu kaya dengan bentuk hidupan marin kerana terdapat banyak runtuhan karang akibat gangguan masa lalu.

“Dengan pembangunan itu, ekosistem marin di bawah kawasan penambakan akan hilang, sebab itu program off-set akan dilaksanakan untuk memindahkan spesies karang yang jarang ditemui kepada persekitaran marin yang serupa di sekitar pulau untuk kelestariannya.

"Ini akan dijalankan dalam tempoh enam hingga dua belas bulan sebelum sebarang kerja pembinaan dimulakan," katanya.

Banyak tambak laut

Menurut laporan EIA, lapangan terbang yang dicadangkan itu akan meliputi kawasan seluas 186.36 hektar, di mana 76 peratus - 142.70 hektar - akan melibatkan penambakan tanah.

EIA mendedahkan cadangan lapangan terbang yang lebih besar daripada draf terma rujukan projek terdahulu, yang menyatakan bahawa projek itu akan berkeluasan 94.49 hektar, di mana 65.77 hektar akan melibatkan tanah tambak.

EIA menyatakan kawasan yang meningkat adalah untuk menampung cerun laut di bawah air dan bahawa keluasan tambahan telah dimaklumkan kepada PLANMalaysia pada Ogos 2022.

Bukit yang memisahkan Kampung Paya dan Kampung Genting dan diratakan untuk projek lepangan terbang ini.

“Keluasan tambahan itu untuk menambak cerun yang dipotong dan tembok batu; kedua-dua kawasan berada di pinggir luar tiang lapangan terbang dan kebanyakannya di dasar laut,” katanya.

Bukit yang memisahkan Kampung Paya dan Kampung Genting ini akan diratakan sekiranya projek lapangan terbang itu diteruskan.

Terletak tidak jauh dari pantai antara Kampung Paya dan Kampung Genting, lapangan terbang itu mencadangkan landasan sepanjang 2.5km dan lebar 45m untuk menampung pesawat Code 4C dengan jarak penerbangan dari 5,100km hingga 6,100km.

EIA menyatakan projek itu bertujuan untuk meliputi penerbangan dua hala dari lapangan terbang di Malaysia, negara Asean, timur India, selatan hingga pertengahan China, dan barat Australia.

Gambar hiasan.

Unjuran ketibaan pelancong untuk 2030 diramalkan seramai 555,986 orang, meningkat daripada sekitar 300,000 orang pada 2020.

EIA tidak membincangkan secara terperinci mengenai pembinaan infrastruktur baru atau menaik taraf kemudahan sedia ada untuk menyediakan air bersih, rawatan kumbahan dan pengurusan sisa yang diperlukan untuk menangani peningkatan pelawat sebanyak dua kali ganda ini.

Sebaliknya, EIA bergantung pada visi yang ditetapkan oleh Rancangan Kawasan Khas Gugusan Pulau Tioman 2030, yang sering disingkat sebagai RKK-GPT 2030, untuk memberi penerangan mengenai infrastruktur yang diperlukan.

RKK-GPT 2030 didraf pada 2020 oleh PLANMalaysia, sebuah agensi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Penduduk tak sepakat

Pulau Tioman mempunyai lebih kurang 2,705 penduduk.

Berdasarkanb tinjauan sosial yang dijalankan pada 2023 oleh Perunding Alam Sekitar Asia Pasifik (ASPEC), 53 peratus daripada 300 responden di pulau itu mengalu-alukan projek lapangan terbang itu, manakala 31 peratus responden tidak bersetuju dan baki 16 peratus tidak mempunyai pendapat.

Bagaimanapun, EIA menyatakan peratusan tertinggi mereka yang bersetuju dengan projek itu datang dari Kampung Tekek - bahagian paling maju di pulau itu yang agak jauh dari kawasan projek dan menjadi tuan rumah pusat peranginan utama yang dikaitkan dengan penyokong projek.

Kain rentang bantah lapangan terbang di Kampung Genting ketika Malaysiakini berkunjung ke Tioman pada Mac 2022.

Responden dari Kampung Paya dan Kampung Genting - kawasan berpenduduk yang paling hampir dengan tapak projek - umumnya tidak menyukai projek tersebut.

ASPEC berkata, ketua masyarakat tempatan menyatakan mereka tidak menentang cadangan lapangan terbang itu tetapi tidak bersetuju dengan lokasi yang dicadangkan, terutama berhampiran Kampung Genting dan Kampung Paya, yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Menurut ASPEC, responden Kampung Genting dan Kampung Paya juga menentang projek itu kerana potensi kehilangan alam semulajadi dan pengurangan ketibaan pelancong ke resort mereka semasa fasa pembinaan.

“Sebanyak 53 peratus isi rumah dan 61 peratus pengusaha perniagaan bersetuju dengan projek itu dari Kampung Paya, Kampung Genting, dan Kampung Tekek, tetapi kebanyakannya dari Kampung Tekek.

Gambar hiasan.

"Walau bagaimanapun, mereka meramalkan sebagai timbal balik mungkin terdapat kesan buruk terhadap alam sekitar.

“Mereka menyatakan bahawa projek itu boleh membawa masuk ramai pelancong yang menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan di pulau yang akan memberi manfaat kepada mereka dari segi ekonomi dalam jangka panjang, tetapi khususnya sepanjang tempoh pembinaan, pendapatan mereka boleh terjejas teruk.

“Sebaliknya, penempatan lain seperti Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Mukut mengalu-alukan projek itu, terutamanya semasa fasa pembinaan kerana mereka menunjukkan lebih ramai pelancong akan datang ke pusat peranginan mereka sebagai ganti Kampung Paya dan Kampung Genting,” katanya.

Taman Laut 'terumbang-ambing'

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Tioman Infra Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Tioman Hill Resort Sdn Bhd, iaitu 50 peratus dimiliki oleh Kumpulan Berjaya. Selebihnya dibahagikan sama rata antara pelbagai kerabat diraja Pahang melalui Aimvesco Sdn Bhd dan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Bahagian projek yang melibatkan tanah tebus guna terletak di perairan dalam sempadan Taman Laut Tioman. Ini bermakna sebarang pembangunan dan aktiviti marin, termasuk penuaian sumber marin dalam sempadan dikawal ketat dan pembinaan lapangan terbang mungkin memerlukan penentuan semula garis sempadan.

Bagaimanapun, EIA menyatakan penyokong projek telah diberikan kelulusan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada Mac 2022 untuk menjalankan EIA sebelum mendapatkan kelulusan daripada Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut untuk menukar status taman itu.

EIA menyatakan RKK-GPT 2030 menganggap perairan Pulau Tioman sebagai kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Tahap 1. Di bawah garis panduan PlanMalaysia, kawasan Tahap 1 ESA tidak boleh dibangunkan.

Menurut kertas kerja Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaya (UMMaritime) yang diterbitkan pada 2007 yang dipetik oleh EIA, Pulau Tioman terletak di salah satu kawasan tumpuan biodiversiti terumbu karang kedua yang tertinggi di dunia.

“Kepentingannya untuk pemuliharaan terumbu karang mengatasi semua taman laut lain di pantai timur semenanjung dari segi kepelbagaian terumbu karang.

"Sebagai Taman Laut yang ditetapkan pada tahun 1994, sebarang aktiviti pembangunan di kawasan ini harus mempertimbangkan dengan teliti keperluan untuk melindungi dan memelihara terumbu karangnya," kata EIA lagi.

EIA dibuka kepada umum pada 21 Jun lalu dan orang ramai mempunyai masa sehingga 20 Julai untuk memberi maklum balas terhadap dokumen itu. Ia boleh diakses pada pautan di sini, tetapi ia tidak boleh dimuat turun atau dicetak.

Jabatan Alam Sekitar sedang meminta ulasan awam mengenai projek itu melalui borang dalam talian pada pautan di sini. Tarikh akhir penyerahan pada 4 Ogos.

Pada 23 Jun, kumpulan alam sekitar Reef Check Malaysia telah memulakan petisyen dalam talian bagi membantah terhadap projek itu. Pada masa penulisan, ia telah memperoleh 3,077 tandatangan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS