Impian remaja berusia 17 tahun, Angeline May Soon untuk mewakili Malaysia dalam sukan renang kini semakin cerah.
Ini kerana setelah menunggu selama lapan tahun, Angeline akhirnya berjaya mendapat status kewarganegaraan sebagai rakyat Malaysia.
“Saya berasa amat gembira dan syukur kerana saya dapat kewarganegaraan. Saya telah menunggu lapan tahun.
“Sebagai perenang, banyak pertandingan saya tak dapat sertai kerana masalah ini.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan Menteri (Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial menteri berkenaan.
Dalam hantarannya, Saifuddin berkata Angeline adalah salah seorang daripada 9,000 pemohon taraf kewarganegaraan yang telah diluluskannya.
Bagaimanapun katanya, kira-kira 130,000 lagi permohonan masih belum diputuskan dan telah berlarutan sekian lama.
“Ada di antaranya yang sudah lebih 10 tahun berdepan dengan kesukaran ini. Banyak hak mereka sebagai warganegara yang telah dinafikan.
"Tekad saya untuk selesaikan sebanyak mungkin kes-kes sebegini," katanya ringkas.

Pada 11 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan Angeline yang menggunakan nama samaran 'May' melahirkan kebimbangan tidak dapat menyertai pertandingan renang kerana tidak mempunyai kewarganegaraan.
“Saya mahu pergi jauh untuk mewakili Malaysia, tetapi saya tidak dapat meneruskannya kerana masalah kewarganegaraan saya,” kata pelajar sekolah menengah dari Pulau Pinang itu dalam satu sidang media.
Ibu kandung remaja itu merupakan warga Indonesia, manakala bapanya warga tempatan.
Angeline memiliki sijil kelahiran namun hanya nama bapanya dinyatakan dalam sijil berkenaan.
Selepas ibunya melarikan diri, bapanya menjaga kanak-kanak itu sehingga dia berumur lima tahun, namun kemudian bapanya pula meninggal dunia.
Status Angeline yang tidak mempunyai kewarganegraan menyebabkan dia tidak layak mendapatkan bantuan kerajaan seperti seperti pemeriksaan kesihatan di sekolah dan buku teks percuma.
Selepas bapa Angeline meninggal dunia, dia dijaga oleh Soon Poh Lean, 65.
Soon berkata dia telah cuba memohon kewarganegaraan untuk Angeline mengikut peruntukan di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan pendaftaran kanak-kanak sebagai warganegara dalam keadaan luar biasa.
Bagaimanapun usaha itu gagal.
Dua hari selepas Malaysiakini menyiarkan kisah Angeline, Soon menerima panggilan daripada pegawai Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Dia (pegawai) kata dia membaca berita itu dan segera mendapatkan nombor telefon saya.
“Angeline menunggu kurang sebulan untuk mendapat kewarganegaraan selepas panggilan itu. Kelulusan lisan diberikan pada 27 Jun dan kelulusan rasmi pada 5 Julai.
“Semalam, 6 Julai, dia menerima sijil kewarganegaraan di pejabat Menteri Dalam Negeri,” katanya ketika dihubungi, sambil menambah rayuan terakhirnya kepada menteri adalah pada 3 Mac lalu.
Penghargaan kepada menteri
Sementara itu, timbalan pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong, yang sebelum ini mengetengahkan isu membabitkan Angeline, mengucapkan terima kasih kepada Saifuddin.

“Perlu diberikan tumpuan adalah usaha menteri sendiri dan kita berharap lebih ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan akan menerima layanan yang sama oleh kerajaan.
“Selain itu perlu memproses permohonan dengan lebih cepat.
“Kami berharap lebih ramai anak yang tidak bersalah mendapat apa yang sepatutnya seperti kanak-kanak biasa,” katanya.
