Kerajaan digesa supaya menguatkuasakan semakan semula undang-undang berkaitan hukuman mati agar kira-kira 850 banduan hukuman mati boleh mendapatkan semakan semula hukuman mereka.
Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 telah diwartakan pada 6 Jun tetapi belum berkuat kuasa.
Dengan menguatkuasakan undang-undang itu, kira-kira 850 daripada 1,324 orang yang dihukum mati, yang telah menamatkan semua rayuan, akan layak untuk semakan semula hukuman, kata jurucakap Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Charles Hector.
Ini berlaku selepas kerajaan mengumumkan bahawa Pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori berkuat kuasa pada 4 Julai, membenarkan budi bicara hakim mengenai jenis hukuman yang dijatuhkan kepada mereka yang disabitkan dengan 11 kesalahan.
Hector berkata selain menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman, kerajaan juga perlu membantu 850 banduan itu mengemukakan permohonan semakan mereka.
Ini kerana Akta Semakan Hukuman menyatakan semua permohonan hendaklah dibuat secara bertulis kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh sembilan puluh hari dari tarikh undang-undang itu berkuat kuasa.
Kata Hector, ini akan memberi tekanan kepada banduan dan sistem untuk memproses permohonan yang akan dikemukakan pada masa yang sama.
Permohonan juga mungkin akan datang daripada mereka yang masih belum habis semua rayuan, dan oleh itu jumlahnya mungkin lebih tinggi daripada 850.
“Memandangkan kemungkinan akan ada kira-kira 1,000 atau lebih semakan permohonan hukuman yang difailkan dan perlu didengar oleh Mahkamah Persekutuan yang sememangnya sibuk, adalah penting bahawa kerajaan juga memainkan peranan aktif dalam membantu mereka yang berhak membuat semakan terhadap permohonan hukuman untuk memastikan keadilan ditegakkan, dan undang-undang baru ini diberi kesan sepenuhnya dengan cepat.
"Ini juga memerlukan bantuan daripada Jabatan Penjara, pendakwa raya, mahkamah dan lain-lain," kata Hector.
Hector juga menyeru Majlis Peguam, yang telah menjadi penyokong kuat memansuhkan hukuman mati, untuk membantu banduan hukuman mati memohon untuk semakan semula hukuman mereka.
Kelonggaran Mahkamah Persekutuan
Selain itu, Hector juga meminta pemahaman dan kelonggaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam menyemak permohonan, dan bukan hanya bergantung kepada keterangan tambahan.
Jelasnya, ini kerana apabila banduan hukuman mati disabitkan kesalahan, mereka mungkin tidak akan mengemukakan banyak bukti yang dapat meringankan hukuman.
Ini kerana bukti ini biasanya dikemukakan untuk mendapatkan hukuman yang lebih rendah, dan ini bukan pilihan dalam kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
“Oleh itu, apabila berkaitan semakan semula hukuman mati sekarang, mungkin terdapat keperluan untuk penilaian semula yang serius terhadap rekod mahkamah dan fakta, dan keadilan mungkin memerlukan pengenalan bahan bukti baru, di mana diharapkan mahkamah akan menjadi fleksibel dalam situasi yang luar kelaziman ini," katanya.
Dia menambah bahawa mahkamah juga harus mengambil tahu bahawa kerajaan Malaysia di bawah pelbagai pentadbiran telah secara konsisten mengundi untuk moratorium hukuman mati, dengan tujuan untuk memansuhkan hukuman mati oleh Perhimpunan Agung PBB.
Pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori juga telah diluluskan semasa pemerintahan PN, di bawah pimpinan Ismail Sabri, manakala Akta Semakan Semula Hukuman dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
“Secara ringkasnya, kerajaan sekarang dan parti pembangkang kini telah mengambil pendirian untuk menuju ke arah pemansuhan hukuman mati,” katanya.
Langkah seterusnya
Sementara itu, Hector menggesa kerajaan memansuhkan hukuman sebat sebagai hukuman ganti kepada hukuman mati.
Pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori membenarkan hakim menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Sebaliknya, Hector berkata, hakim perlu diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman antara 10 hingga 40 tahun, tanpa perlu sebat.
Dia juga menggesa kerajaan mengambil langkah seterusnya ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati, dalam kes di mana tiada mangsa terbunuh atau cedera parah.
