Pertembungan ulama-profesional dalam muktamar PAS
Pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS dalam muktamar parti itu 1 Jun ini sekali lagi akan menyaksikan pertembungan antara pemimpin aliran ulama dengan profesional.
Beberapa kawasan PAS di Kedah telah mencalonkan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib, 63, untuk menentang penyandang jawatan itu, Nasharuddin Mat Isa, 45, dalam muktamar kelak.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak mengesahkan beberapa kawasan di negeri itu mencalonkan Harun untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.
Bagaimanapun beliau enggan memberitahu jumlah pencalonan yang diperolehi Harun dengan alasan belum mendapat laporan mengenainya.
Lagi pula, katanya, pihak kawasan menghantar terus pencalonan mereka terus ke Ibupejabat parti di Kuala Lumpur.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, enam kawasan di Kedah mencalonkan Nasharuddin, manakala sembilan kawasan lagi mencalonkan Harun. PAS Kedah mempunyai 15 kawasan.
Harun, kata sumber itu lagi, turut mendapat pencalonan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang - negeri-negeri yang mempunyai pengaruh kuat PAS.
Muktamar PAS akan berlangsung di Kota Baru pada 1 Jun depan. Kecuali jawatan presiden, semua jawatan lain dijangka dipertandingkan kali ini.
Berpendirian keras
"Dalam pengetahuan saya beberapa kawasan mencalonkan Harun manakala beberapa yang lain mencalonkan Nasharuddin untuk jawatan timbalan presiden," kata Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau.
"Badan Perhubungan PAS Kedah memberi kebebasan sepenuhnya kepada bahagian di seluruh negeri itu untuk mencalonkan mana-mana pemimpin untuk sebarang jawatan dalam parti," tambahnya.
Dalam muktamar lalu, Nasharuddin memenangi jawatan timbalan presiden dengan menewaskan dua calon lain - Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan penyandangnya, Hassan Shukri.
Harun berkelulusan dari Universiti Madinah dan dikatakan berpendirian keras. Beliau dilaporkan tidak setuju PAS bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, Azizan enggan memberi komen mengenai Nasharuddin kerana ia boleh mempengaruhi pemilihan dalam muktamar nanti.
Dalam muktamar lalu, beberapa jawatan utama dimenangi golongan bukan ulama seperti timbalan presiden dan ketiga-tiga Naib Presiden - Datuk Husam Musa, Mohd Sabu dan Datuk Hasan Ali.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar juga bukan dari aliran utama dalam barisan kepimpinan PAS.
Sokong Hadi
Sementara itu, Azizan berkata, Badan Perhubungan PAS Kedah menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti.
Katanya, Abdul Hadi berjaya memimpin PAS dengan sangat baik walapun parti itu mengalami kekalahan dalam pilihanraya umum 2004.
Dalam pilihanraya lalu, PAS kehilangan Terengganu yang dimenanginya pada 1999.
Parti itu juga hanya berjaya mengekalkan lapan kerusi Parlimen berbanding 25 dalam pilihanraya sebelumnya.
"Kekalahan dalam pilihanraya umum bukan menggambarkan kelemahan kepimpinan Abdul Hadi kerana PAS masih kuat dan pembangkang utama dalam politik negara.
"Abdul Hadi masih mengekalkan dasar-dasar PAS sejak awal penubuhannya, " katanya.