Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Global Royalty: Syarikat kami terkenal, tak perlu publisiti Rosmah

Syarikat barangan kemas Lubnan menyifatkan pembelaan Rosmah Mansor dalam saman RM67.46 juta yang difailkan pihaknya sebagai "tidak benar, tidak masuk akal, tidak logik dan semata-mata penegasan dan/atau penafian kosong".

Dalam jawapan kepada pembelaan yang difailkannya, plaintif Global Royalty Trading SAL berkata demikian berhubung dakwaan Rosmah bahawa barangan kemas dihantar kepadanya untuk "publisiti" dan bukan atas permintaannya.

"Plaintif memplidkan bahawa plaintif adalah tukang emas yang mapan dan terkenal, mengendalikan kedai di lokasi terkemuka seperti London dan New York. Plaintif telah berkhidmat dengan kerabat diraja dan selebriti lama sebelum defendan membuat sebarang pembelian. Reputasi Plaintif dan pelanggan sudah memadai dan plaintif tidak memerlukan publisiti tambahan sepertimana yang didakwa oleh defendan tersebut.

"Tambahan pula, plaintif menegaskan bahawa pergaulan mereka dengan pelbagai keluarga diraja mengukuhkan lagi kedudukan plaintif dalam industri ini. Plaintif telah diperkenalkan kepada defendan oleh Sultanah Brunei, yang menunjukkan tahap kepercayaan dan prestij yang dinikmati oleh plaintif. Oleh itu, plaintif tidak memerlukan publisiti.

"Sebelum konsainan 44 barang kemas tersebut, defendan telah membuat pembelian terdahulu daripada plaintif. Bagaimanapun, tiada publisiti atau perhatian dijana daripada transaksi tersebut. Oleh itu, plaintif memplidkan bahawa tuntutan defendan berkenaan publisiti tidak mempunyai asas atau merit," kata Global Royalty dalam jawapan yang dilihat Malaysiakini.

Berhubung hujah Rosmah yang dia tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kehilangan 44 barang kemas itu kerana ia dirampas oleh polis ketika serbuan pada 2018, Global Royalty berkata Rosmah tidak jujur memandangkan 44 barang kemas itu adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dipulangkan kepadanya pada 14 November lalu.

Oleh itu, katanya, Rosmah sebenarnya memiliki 43 barang kemas dan seharusnya membayarnya.

Polis sebelum ini telah memulangkan satu bentuk barang kemas kepada syarikat itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Rosmah Rajivan Nambiar mengesahkan pasukan peguam Global Royalty memfailkan jawapan itu semalam.

Pada April lalu, pasukan peguam tersebut memfailkan semula saman berjumlah RM67.46 juta terhadap Rosmah atas dakwaan barang kemas itu dihantar kepada defendan untuk tujuan pameran.

Sebagai ganti, firma itu meminta kos barang kemas itu pada RM67,461, 027 (bersamaan dengan AS$14,567, 270).

Pada 2019, firma itu memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi kemudian menarik balik saman tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS