Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mak: Gerakan tiada sebab tolak RUU355 lagi
Diterbitkan:  Jul 11, 2023 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Gerakan menghormati keputusan mahkamah berkaitan beberapa perkara sensitif berkaitan hal ehwal agama, kata bekas setiausaha agung gerakan Mak Kah Keong.

Mak berkata Gerakan menggunakan pendekatan merujuk kepada mahkamah jika terdapat sesuatu perkara yang tidak jelas, berbeza dengan musuh politik mereka DAP.

Mak secara khusus merujuk kepada tindakan parti itu membawa isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan India serta kesahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II  1993 (Pindaan 2015) pada 2015 yang sering dirujuk sebagai RUU355.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk meminta Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) bagi membolehkan kelantan melaksanakan pindaan enakmen negeri pada 2015.

“Kedua, RUU355, kenapa kita bawa ke mahkamah? 

“Kita tanya, adakah RUU355, bukan Islam akan diberi kesan juga?

“Jawapan terang lagi bersuluh, bukan Islam tak ada kaitan dengan RUU355. Maka lain kali gerakan tidak ada alasan untuk menolak,” katanya dalam ceramah Perikatan Nasional di Seremban pada Ahad.

Gerakan pada 2016 membantah RUU Hadi atas alasan ia membolehkan Kelantan melaksanakan hukuman seperti merejam dengan batu serta memotong tangan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) 1993.

Kes 2015 yang dirujuk oleh Mak itu difailkan oleh tiga anggota Gerakan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee and Chung Mon Sie. Mereka memohon pengisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syarikah Kelantan (II) 1993 bercanggah dengan perlembagaan.

Bagaimanapun, kes ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, Plaintif diwakili oleh Gopal Sri Ram, Harpal Singh dan Andy Yong, bekas ketua pemuda Gerakan.

Ketika dihubungi untuk penjelasan lanjut, Mak yang juga seorang peguam berkata, oleh kerana mahkamah telah membuat keputusan, orang bukan Islam tidak terkesan dengan rang undang-undang yang dibentangkan Hadi.

“Susulan keputusan mahkamah, saya tidak fikir Gerakan ada alasan lagi untuk menolak jika pentadbiran Anwar Ibrahim mahu meneruskan RUU itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS