Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu mengarahkan agar siasatan dilakukan terhadap dakwaan berlaku kenaikan harga telur dinaikkan oleh beberapa pembekal.
Ketika dihubungi, Mohamad berkata bahawa pihak kementerian akan memberikan maklum balas dengan segera sebaik saja isu berkenaan dapat dikenal pasti..
"Saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyiasat aduan ini dan memberikan maklum balas segera mengenai aduan tersebut.
"Saya juga telah meminta KPKM berhubung dengan persatuan penternak ayam untuk mendapatkan maklum balas yang sama," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa sebuah ladang pembekal telur mengeluarkan memo memberitahu harga telur akan dinaikkan sebanyak RM0.60 bagi setiap papan.
Memo itu bertarikh 9 Julai yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan kenaikan berkenaan akan melibatkan semua jenis telur.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi pembekal terbabit dan sedang menunggu reaksi mereka.
Sebelum ini, kerajaan berkata subsidi ke atas penternak ayam dan pengeluar telur.
Salah satu punca masalah
Dalam kenyataan bersama KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), keputusan itu dibuat bagi memastikan industri ayam dan telur terus berdaya tahan dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat.
Asalnya pemberian subsidi tersebut hanya sehingga 30 Jun tetapi KPKM dan KPDN bersetuju agar ia dilanjutkan mulai 1 Julai tahun ini.
Sementara itu, seorang pemain industri pembekal dan pemborong telur yang tidak mahu dinamakan memberitahu Malaysiakini, memo daripada pihak pengurusan ladang itu mungkin palsu.

"Kita masih sedang menghadapi kekurangan telur tetapi kerajaan memantau rapi harganya.
"Maka, mustahil bagi ladang menaikkan harga telur. Ini mungkin kerja kartel telur," katanya.
Menurut sumber itu, kartel telur bermaksud pihak tertentu yang membeli telur dari ladang dengan kuantiti melebihi keperluan mereka untuk memanipulasi harga pasaran.
Selepas membeli dalam jumlah yang banyak, katanya, mereka menjual semula telur berkenaan kepada pemborong kecil dengan harga yang lebih tinggi dengan alasan ladang sudah menaikkan harga.
"Pemborong sebegini juga sentiasa mengawal pembelian telur terus dari ladang agar pemborong lain yang menjual telur dalam skala kecil hanya boleh membeli dari mereka ini dengan harga yang ditetapkan olehnya.
"Ini salah satu punca kekurangan dan kenaikan harga telur di pasaran," katanya.
