Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff tampil menjelaskan kekeliruan di sebalik info grafik simulasi yang dimuat naik di Facebook jabatan itu semalam.
Menurutnya, pihaknya mengetengahkan harga enam barangan keperluan itu bagi menjawab dakwaan laporan dan kritikan sesetengah pihak menyatakan harga barangan berkenaan naik mendadak sehingga membabitkan kos daripada RM200 hingga RM500 sebulan.
"Simulasi itu dibuat berdasarkan enam barangan utama yang dikatakan harganya telah naik mendadak menyebabkan kos perbelanjaan meningkat daripada RM200 kepada RM500 sebulan.

"Jadi J-Kom membuat rujukan mengenai harga barangan tersebut termasuk dengan merujuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selain pasukan J-Kom turun membuat tinjauan dan temubual bersama pengguna.
"J-Kom hanya merujuk kepada enam harga barang sama ada barangan kawalan, bersubsidi atau tidak itu untuk dibandingkan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas mengenai kenaikan harganya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Semalam, J-Kom mendakwa belanja dapur satu keluarga adalah sebanyak RM397.80 sebulan atau RM99.45 seminggu.
Dakwaan ini dibuat J-Kom bagi menjawab persoalan benarkah belanja dapur meningkat dari RM200 ke RM500 sebulan.

Ia kemudian membuat pindaan tetapi mengekalkan bahawa keluarga yang mempunyai empat orang mampu bertahan dengan barangan runcit bernilai kurang daripada RM400 sebulan, dan bagi mereka yang bujang, perbelanjaan akan hanya menjadi RM234.60 sebulan.
Bagaimanapun, J-Kom berkata, pengiraan infografik itu hanya mengambil kira “barang-barang yang merupakan barang dapur asas serta barangan yang (harga) dikawal dan disubsidi oleh kerajaan, dan tidak termasuk barangan lain".
J-Kom membariskan contoh perbelanjaan sekeluarga melibatkan enam barangan - ayam, beras, minyak masak, telur, roti dan gas masak.
Berdasarkan infografik yang dikeluarkan J-Kom, harga ayam dianggarkan sekitar RM18.80 seekor dan dengan anggaran satu keluarga membeli dua ekor seminggu, bersamaan dengan RM37.60.
Barangan mingguan lain adalah minyak masak botol yang berharga RM6.90 sekilogram (dua botol seminggu, RM13.80), roti Gardenia RM4.30 (dua paket seminggu, RM8.60) dan telur sepapan RM14.
Belanja untuk beras 10 kilogram dan tong gas 12 kilogram pula adalah bagi sebulan, masing-masing berharga RM38 dan RM25.80.

Sementara itu Agus mengakui terdapat kesilapan dalam hantaran infografik tersebut pada awalnya dan pihaknya telah membuat kemas kini sebaik menyedari kesilapan itu.
Jelasnya lagi, J-Kom sedaya mungkin memberi penjelasan yang tepat kepada rakyat namun keadaan sebaliknya berlaku apabila fakta diatasi emosi dan sentimen.
"Kami menyambut baik segala kritikan, teguran dan nasihat disampaikan masyarakat dan saya mahu buat kenyataan balas bagi memberi kefahaman kepada semua.
"Berdasarkan simulasi tersebut memaglah kita tidak mengambil kira lebih banyak lagi barangan keperluan lain seperti ikan, sayur dan sebagainya. Ini kerana penjelasan yang dibuat itu merujuk kepada enam item barangan berkenaan sahaja.
"Saya akui wujud kekeliruan yang kita sudah perbetulkan, namun emosi dan sentimen menjadikan tanggapan tidak betul. Saya nak tarik perhatian kepada enam harga barang itu, memanglah tidak cukup," katanya.

Tambah Agus pihaknya faham rakyat menjadi begitu sensitif apabila perkara itu berkait dengan kos sara hidup namun perlu yakin bahawa kerajaan akan memastikan yang terbaik untuk rakyat.
"Inilah reaksinya, tetapi saya yakin satu perkara, kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim sama sekali tidak akan biarkan perut rakyat lapar, yang ini kita angkat dan utamakan.
"Kita juga sedar menteri KPDN begitu ebekrja keras dalam menanngani isu kos sara hidup dengan pelbagai intensif dilaksanakan untuk kemudahan dan meringankan beban rakyat.
"Saya harah penjelasan ini akan beri kefahaman kepada semua dan bagi pihak J-Kom yang memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan kelemahan yang ada akan terus diperbaiki," ujarnya.
