Ahli Bersatu dan PAS telah membuat laporan polis terhadap penyandang Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat perkauman terhadap PSM dan salah seorang calon pilihan raya parti itu.
Meskipun Najwan sudah memohon maaf dan PSM menerima permohonan maaf itu, Setiausaha Bersatu Titiwangsa Thaqib Shaker menegaskan keperluan laporan polis dibuat bagi mengelak kejadian serupa berulang.
“Saya harap perkara seperti ini tidak berulang lagi… Ia tiada kaitan dengan kami, tetapi atas dasar solidariti (dengan PSM) dan atas dasar kebencian kami terhadap perkauman maka laporan polis adalah perlu.
"Saya amat kecewa kerana saya tahu PSM aktif buat kerja-kerja untuk masyarakt kelas bawahan. Mereka masuk pedalaman bukan hanya untuk bantu kaum India, mereka juga bantu orang Melayu, Cina, bumiputera yang lainnya,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Shah Alam hari ini.
Selain Thaqib, hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda Bersatu Shah Alam Ahmad Azarul Mohamad Azmi dan pegawai khas hal-ehwal bukan Melayu PAS Low Lee Leong.
Thaqib berkata, laporan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 499, 500 dan 505 Kanun Keseksaan dan difailkan di Shah Alam.

Seksyen 4(1) Akta Hasutan membabitkan mengeluarkan perkataan menghasut yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Manakala Seksyen 499 dan 500 pula merangkumi fitnah jenayah, manakala Seksyen 505 pula berkaitan penghinaan, provokasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan orang ramai dan memecahkan ketenteraman awam.
Dua hari lalu, satu tangkap layar perbualan WhatsApp beredar di media sosial, dengan Najwan telah menyatakan "parti estet India" sebagai respons kepada laporan pengumuman PSM bahawa parti itu meletakkan aktivis sosial Sivaranjani Manickam di Meru untuk pilihan raya.
Najwan memohon maaf sejurus selepas tangkap layar itu menjadi tular, mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.
Najwan menambah bahawa dia telah menghubungi Sivarajan - yang pertama kali menyiarkan tangkap layar berkenaan - untuk memohon maaf kepada PSM dan ahlinya.
Semalam, Naib Presiden PKR Amirudin Shari mendedahkan lembaga disiplin PKR akan memutuskan sama ada akan mengambil tindakan terhadap Najwan.
Thaqiq turut membuat perbandingan antara Najwan dan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang sedang disiasat polis berhubung sentimen 3R (kaum, agama, raja).
“Azalina berkata, Sanusi masih perlu disiasat polis walaupun sudah meminta maaf. Perkara yang sama harus dikenakan kepada Najwan.
“Terutama dalam isu 3R, anggota komponen kerajaan, seperti Lim Guan Eng, telah membuat kenyataan berbaur perkauman jadi saya harap akan ada tindakan susulan ke atas Lim dan juga Najwan,” tambahnya.
Sementara itu, Thaqib berkata Perikatan Nasional tidak ada halangan jika polis ingin merakamkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung siasatan berkaitan kenyataannya yang menyentuh 3R.
Tambahnya, tidak akan ada sebarang kompromi sekiranya Hadi didapati bersalah atas tindakannya itu dan mengingatkan bahawa ini juga terpakai kepada ahli Bersatu.
“Saya nak nyatakan di sini sekiranya ada ahli Bersatu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, kita akan ambil tindakan.
"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang sentimen perkauman, terutamanya semasa pilihan raya negeri akan datang," katanya.
