Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Jamil Salleh sebagai calonnya untuk Dengkil pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada perhimpunan di Sepang, Selangor malam tadi. Jamil bersara pada 2019 selepas 35 tahun dalam perkhidmatan awam.
Dengkil adalah satu daripada enam kerusi yang dimenangi Bersatu semasa pilihan raya DUN Selangor pada 2018. Penyandang Adun Dengkil ialah Adhif Syan Abdullah.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan PN akan meletakkan bekas ketua Pemuda Umno Selangor Suhaimi Mohd Ghazali untuk kerusi Sungai Pelek.
Suhaimi kini merupakan Ketua Pemuda Bersatu Sepang dan pernah menjadi Adun Dengkil bagi penggal 2004-2008.

Sungai Pelek ialah kawasan pilihan raya di mana lebih separuh daripada pengundinya adalah Melayu dan penyandangnya, Ronnie Liu, memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Liu meninggalkan DAP bulan lepas. DAP tidak pernah meletakkan calon yang sama dua kali untuk Sungai Pelek.
Jamil dan Suhaimi adalah dua calon PN pertama yang diumumkan untuk Selangor.
Menurut Berita Harian, Muhyiddin memberitahu penyokongnya bahawa kemenangan PN di Selangor adalah penting untuk menghantar mesej kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia berkata selepas memegang tampuk pemerintahan selama lapan bulan, Anwar gagal merangka pelan untuk membantu ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
