Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dakwaan 'cokia' - Faham, tidak mengaku Yang Arif, kata Sanusi
Diterbitkan:  Jul 18, 2023 9:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Nor Rajiah Mat Zin.

"Faham, tidak mengaku Yang Arif," katanya.

Dia didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai llalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Sanusi beberapa hari lalu kemudiannya memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana berkata baginda memilih menteri besar “cokia (lekeh)”, ketika mengkritik rakan sejawatnya Amirudin Shari.

Sanusi bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputar belit oleh musuh politik BN dan PH.

Berikut antara kenyataan Sanusi yang menimbulkan kontroversi itu.:

"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin).

“Inci pun tak berapa cukup.”

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, jurukamera dan pengamal media yang menunggu sejak jam 7 pagi gagal kecewa apabila mereka gagal merakamkan gambar pemimpin PAS tersebut yang dibawa pihak polis menerusi laluan lokap mahkamah.

Turut berada di pekarangan mahkamah adalah ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad, ahli Parlimen Besut,  Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim.

Sementara itu, keadaan di sekitar bangunan mahkamah dilaporkan tenang dan terkawal dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan beberapa elemen pasukan termasuk polis trafik dan Pasukan Gerakan Am (PGA) lengkap dengan senjata raifal.

Ia turut dibantu dengan dron oleh Unit Dron PDRM yang melakukan pemantauan di lokasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS