Beberapa pemimpin Warisan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Air Sabah (JAS) dan kerajaan negeri berhubung kerugian yang ditanggung oleh orang ramai kerana membeli air pada tarif yang lebih tinggi.
Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata kumpulan itu juga akan memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
Wong, merujuk kepada isu tangki syarikat swasta yang didakwa menjual air pada harga tinggi ketika pemotongan air di negeri ini.
"Sekiranya syarikat ini terus menikmati keuntungan yang tidak munasabah maka pengguna, rakyat akan menderita kerana ia akan memaksa kos operasi melonjak dan harga barangan meningkat lebih tinggi.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bekalan air tersedia dan harus menanggung kos tambahan apabila orang ramai terpaksa membeli daripada syarikat swasta semasa gangguan bekalan.
“Pemimpin Warisan akan membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat mengapa syarikat ini dibenarkan mengenakan caj pada kadar yang tinggi.
"Kami juga sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap jabatan air dan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana menyebabkan kerugian kewangan yang ditanggung oleh rakyat Sabah kerana pembelian air pada tarif yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan bersama itu turut dikeluarkan Adun Calvin Chong (Elopura) dan Justin Wong (Sri Tanjung).
Sebelum ini Setiausaha Bahagian Warisan Kota Kinabalu, Loi Kok Liang mendakwa Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas telah membelanjakan RM145,000 untuk membeli air daripada syarikat pembekal air swasta sepanjang tempoh gangguan air selama 23 hari pada Jun lalu.
Susulan lawatan ke hospital itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah James Ratib berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani isu bekalan air dan elektrik di negeri itu.

Wong hari ini mempersoalkan mengapa syarikat terbabit mengeksploitasi situasi gangguan bekalan yang kerap belaku dengan menjual air terawat pada kadar yang lebih tinggi.
"Mengapa syarikat swasta ini dibenarkan menjual air pada kadar yang lebih tinggi dalam keadaan tiada bekalan? Cukup teruk jika hospital yang ketiadaan air, tetapi mereka menambah garam pada luka bila mengenakan bayaran lebih daripada tarif biasa.
"Ini mendorong saya untuk bertanya sama ada jabatan air, yang sudah mempunyai rekod prestasi buruk dalam salah urus, bersekongkol dengan syarikat-syarikat ini?," soalnya.
Wong berkata, Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 membenarkan jabatan air mengeluarkan lesen untuk menjalankan pengagihan bekalan air, bagaimanapun tarif hanya boleh ditetapkan oleh jabatan itu.
