Bekas menteri, Khairy Jamaluddin, hari ini mempersoalkan tindakan pihak berkuasa ke atas Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, dan bertindak sebaliknya terhadap menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Kata Khairy ketika kedua-dua ahli politik menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja-raja), Lim dikaitkan dengan dua daripada tiga isu tersebut manakala Sanusi satu.
Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno Malaysia menjelaskan Lim disiasat berhubung kenyataannya yang menyentuh kaum dan agama, sedangkan Sanusi membabitkan raja.
"Kami (dalam podcast Keluar Sekejap) tidak membenarkan mana-mana isu 3R disentuh. Ini sempadan yang kami ketahui.
"Jika ada ucapan Sanusi didapati berbaur hasutan, (kita patut) biarkan proses undang-undang berjalan dengan sewajarnya.
"Saya bersetuju dengan kebimbangan yang dibangkitkan Ketua Pemuda Umno Akmal (Saleh) baru-baru ini mengenai kelewatan tindakan terhadap Guan Eng.
"Jika benar Sanusi melanggar satu daripada tiga R (raja-raja), maka Guan Eng melanggar dua daripada tiga R (bangsa dan agama)," katanya.

Komen Khairy itu dibuat dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap yang turut menampilkan bekas Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan.
Untuk rekod Khairy sudah dipecat dari Umno manakala Shahril pula digantung keahliannya oleh parti tersebut pada awal tahun ini.
Sanusi yang juga pengah pilihan raya PN didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan menghasut membabitkan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor semasa berceramah di Selayang pada 11 Julai lalu.
Langkah AGC diperhatikan
Kenyataan itu turut tidak disenangi pihak istana Selangor. Pada 15 Julai ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis ke atas Sanusi dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Sanusi kemudian didakwa - dan mengaku tidak bersalah - atas dua pertuduhan di dua mahkamah sesyen berbeza pada 18 Julai.
Lim pula sedang disiasat ekoran kenyataannya yang mendakwa PN akan memusnahkan kuil-kuil Budha di Pulau Pinang jika mereka memenangi PRN pada 12 Ogos ini.
Selain Lim dan Sanusi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyiasat Presiden PAS merangkan Timbalan Pengerusi PN, Abdul Hadi Awang, ekoran kenyataannya yang dianggap menyenatuh isu perkauman.
Kelmarin Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan tindakan segera diambil ke atas Sanusi kerana ia melibatkan raja-raja Melayu.
Menurut Khairy dia dan Shahril sependapat bahawa pelaksanaan undang-undang perlu adil ke atas semua pihak.

"Kita nak melihat bagaimana ketekalan (consistent) siasatan dan pendakwaan dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya.
Semalam AGC sudah menafikan mereka membuat pendakwaan terpilih atau terbabit dalam penganiayaan politik ke atas mana-mana individu.
Peguam Negara, Idris Harun, berkata keputusan mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada siastaan, bukannya atas desakan mana-mana pihak atau faktor yang lain.
Khairy berpendapat pertuduhan ke atas Sanusi mungkin kelihatan bermotifkan politik memandangkan dia dilihat sebagai "ancaman terbesar" kepada PH dalam PRN bulan depan.
Menjelaskan pandangannya, Khairy berkata, semasa Sanusi menjadi tetamu Keluar Sekejap baru-baru ini, podcast itu mencatat rekod tontotan tertinggi iaitu 700,000 di YouTube.
“Dia antara ancaman terbesar, dan PAS mengakui dia adalah ‘komander’ yang akan mengetuai serangan (ke atas PH-BN) pada pilihan raya akan datang.
"Anda mungkin berkata bahawa banyak laporan polis telah dibuat (terhadap Sanusi), dan oleh itu (tuduhannya) tidak bermotif politik, tetapi saya pasti peguam negara akan berunding dengan perdana menteri sebelum ini (Sanusi didakwa), " kata Khairy.
Khairy juga medakwa, perdana menteri boleh menegaskan dia tidak ada pilihan kerana AGC sudah membuat keputusan meneruskan pertuduhan ke atas Sanusi.
"Tetapi mesti ada membabitkan pertimbangan politik," dakwanya.
