Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lupus hutang peneroka Felda: Bekas pembantu Muhyiddin tolak bukti PM
Diterbitkan:  Jul 20, 2023 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Seorang bekas pembantu kepada Muhyiddin Yassin telah menolak bukti yang dikemukakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa dia telah menandatangani skim pelupusan hutang untuk peneroka Felda.

Marzuki Mohamad (gambar, judul) berkata salah satu dokumen yang dikeluarkan oleh Anwar itu hanyalah perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

"Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda," kata Marzuki pada hantaran di Facebook.

Menurutnya, perjanjian sukuk itu merupakan sebahagian keputusan kabinet era pentadbiran Muhyiddin Yassin pada 2020.

"Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, eloklah kerajaan "declassify" minit mesyuarat kabinet tersebut untuk tatapan rakyat," katanya.

Hari ini Anwar mendedahkan sebahagian dokumen yang membuktikan dia telah menandatangani skim pengecualian hutang untuk peneroka Felda.

Ini selepas pengerusi PN itu menuntut bukti daripada perdana menteri.

Dokumen itu ialah Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA), serta pesanan sukuk.

Kementerian Kewangan, dalam kenyataan berasingan hari ini, mengulangi bahawa perjanjian itu bagi memberi jaminan kerajaan RM9.9 bilion kepada Felda untuk menyusun semula hutangnya melalui penerbitan sukuk dan pusingan kredit.

Dokumen itu telah dikeluarkan selepas Muhyiddin mencabar Anwar berbuat demikian, atau berdepan tindakan saman fitnah.

Dalam ucapannya pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai, Anwar mendakwa inisiatif untuk menstruktur semula dan melupuskan hutang Felda telah dijanjikan pentadbiran Muhyiddin tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Lantaran itu, ahli parlimen Pagoh itu menuduh Anwar berbohong, memetik jawapan parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said pada 23 Feb bahawa pelupusan hutang itu dilakukan pada 2021, walaupun kerajaan sekarang tidak dapat meneruskan apa yang dia mulakan kerana masalah aliran tunai.

Walaupun Muhyiddin menafikan hal tersebut namun Anwar mengulang dakwaannya pada hari berikutnya, menjelaskan belanjawan persekutuan pada 2021 dan 2022 tidak memberi sebarang peruntukan untuk melupuskan hutang berjumlah RM8.3 bilion itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS