Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan menyiasat isu berkaitan undang-undang yang melarang imigran masuk ke negara ini termasuk kendalian proses not to land (NTL).
Pengerusi PSC William Leong berkata, tujuan siasatan adalah untuk memahami kekangan kepada undang-undang sedia ada dan memberikan cadangan kepada kerajaan berkaitan penambahbaikan kepada undang-undang atau pindaan kepada Akta Imigresen (Akta 155).
Leong berkata, siasatan itu dilakukan susulan kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 29 Jun lalu.
"Perlu ditegaskan bahawa prosiding ini mahupun Jawatankuasa ini tidak akan menjalankan apa-apa siasatan terhadap kemungkinan seseorang individu melakukan amalan rasuah. Siasatan tersebut akan dikendalikan oleh SPRM atau PDRM selaku badan yang bertanggungjawab melakukan siasatan jenayah.
"Siasatan yang akan dijalankan oleh Jawatankuasa ini sebaliknya akan melihat kepada keseluruhan sistem serta pengendalian imigran-imigran larangan dan proses Not-To-Land serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Prosiding itu, katanya, akan berlangsung pada 24 dan 26 Julai dan akan disertai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Bulan lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mendakwa telah "menyelamatkan" seorang pelancong China yang ditahan oleh Jabatan Imigresen dan tindakan itu didakwa membongkar amalan rasuah di kalangan pegawai lapangan terbang berkenaan.
Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan mengkaji semula proses pengurusan pengembara yang dilarang memasuki negara ini oleh Jabatan Imigresen.
Saifuddin kemudiannya mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan proses penghantaran pulang pengembara yang dilarang masuk ke Malaysia perlu diuruskan syarikat perniagaan dan bukannya pihak ketiga.
Saifuddin berkata keputusan itu selari dengan peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Akta Imigresen, yang menyatakan pengembara yang tidak dibenarkan masuk ke dalam negara perlu diuruskan syarikat penerbangan sendiri.
Berdasarkan amalan pada masa ini, pengendali penerbangan akan menggunakan perkhidmatan syarikat yang dipanggil Monocircle untuk menguruskan pengembara yang diberikan status NTL (not to land) oleh imigresen.
Menurut Saifuddin, antara Januari dan Jun, seramai 3,984,823 pengembara tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Daripada jumlah ini, seramai 14,977 telah dikeluarkan NTL atas pelbagai sebab, termasuk kegagalan untuk menunjukkan tiket pergi balik, dan alamat untuk mereka tinggal di negara ini.
Menteri itu berkata pelancong dari Bangladesh, Pakistan dan India adalah tiga warganegara tertinggi yang tidak diterima masuk di pintu masuk Malaysia.
