Selepas menggugurkan lapan penyandang daripada bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang yang akan datang, nampaknya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke cuba menenangkan ahli dan pemimpin partinya.
Loke mengingatkan ahli parti bahawa kejayaan calon bukan kemenangan mereka semata-mata tetapi ia juga adalah milik parti dan Pakatan Harapan (PH).
“Pastinya akan ada muka baru, ada yang akan bersara, dan ada yang tidak akan dicalonkan lagi. Ini proses yang kita lalui dalam setiap pilihan raya,” katanya.
Loke menggesa semua ahli parti supaya menyokong calon yang dipilih sepanjang tempoh berkempen.
“Ia bukan kemenangan peribadi untuk mana-mana calon tertentu yang kita letak, kemenangan mereka adalah kemenangan untuk parti dan PH," tegasnya dalam ucapannya.
Dia juga mengulangi bahawa jika PH dan BN menang di Pulau Pinang, parti itu akan mencalonkan ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk penggal kedua.
Antara penyandang yang digugurkan ialah lima anggota exco kerajaan negeri sementara - timbalan ketua menteri II P. Ramasamy, ketua Wanita DAP Chong Eng, Phee Boon Poh, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee.
Selepas berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Adun di Pulau Pinang, pemimpin veteran ini mempunyai pangkalan penyokong yang besar di negeri itu.
Mencontohi langkah serupa yang dibuat di Selangor, Loke telah menawarkan untuk mencadangkan Yeoh sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang seterusnya yang dilihat sebagai hadiah saguhati bagi Yeoh yang tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi DUN Paya Terubong.
Loke juga memaklumkan, dalam sidang akhbar berasingan hari ini, bahawa Yeoh akan dicadangkan sebagai calon parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Semasa acara di Georgetown, Ramasamy, Chong dan Soon tidak hadir.
Phee, yang mengumumkan rancangannya untuk bersara sebentar tadi, hadir bagi menyokong anak perempuannya Syn Tze yang akan bertanding di Sungai Puyu, kerusi yang dikosongkan oleh bapanya.
Ramasamy masih belum membuat kenyataan umum selepas tidak dicalonkan untuk mempertahankan kubu kuatnya di Perai. Sementara Chong menyeru penyokongnya supaya tidak putus harapan terhadap DAP.
Dalam catatan Facebook, Chong berkata, “Bagi mereka yang menyokong saya, jangan berputus asa dengan DAP.
“Parti terdiri daripada lelaki dan wanita, kita tidak boleh mengharapkan semua orang menjadi sempurna.
"Jadi anda boleh berputus asa terhadap (seseorang) individu tetapi jangan berputus asa pada parti," katanya.
Pada 11 Julai, Chong secara terbuka menyokong Chow untuk berkhidmat penggal kedua sekiranya PH menang di Pulau Pinang sekali lagi.
Dia juga berkata parti itu perlu mempertimbangkan untuk mengumumkan calon untuk ketua menteri Pulau Pinang.
Dua hari kemudian, kepimpinan tertinggi DAP akhirnya membuat keputusan dan sebulat suara mencalonkan Chow sebagai calon ketua menteri Pulau Pinang untuk parti itu.
DAP juga memutuskan akan ada "pembaharuan besar" dalam ahli DAP yang memegang jawatan kabinet negeri sekiranya pakatan PH-BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan.
Spekulasi bertiup kencang bahawa terdapat usaha melobi daripada pelbagai kumpulan dalam parti itu untuk memastikan calon pilihan mereka diturunkan sebagai calon.
Awal hari ini, senarai calon yang bocor dikongsi di media sosial hanya beberapa jam sebelum DAP membuat pengumuman rasmi dan dilaporkan oleh portal tempatan dan akhbar dalam talian.
Menjawab senarai tular yang terbukti 100 peratus tepat, Loke menyindir sambil mengucapkan terima kasih kepada media kerana menyiarkan artikel mengenai senarai calon sebelum dia membuat pengumuman.
“DAP Pulau Pinang terkenal dengan ketelusannya, malah senarai calonnya juga telus. Saya mempunyai senarai di sini tetapi media telah menyiarkannya sebelum saya membuat pengumuman.
“Kita tidak perlu menyembunyikannya lagi. Jika ia tidak betul, kami akan mengatakannya. Tetapi jika ia betul, kita tidak perlu menyembunyikannya. Kami mengakui bahawa ini adalah senarai yang betul.”