Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS belajar dari Fathul Makkah, Perang Uhud untuk bersama Mahathir
Diterbitkan:  Jul 26, 2023 2:07 PM
Dikemaskini: 6:07 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan parti itu 'mengambil iktibar' daripada peristiwa Perang Uhud sebagai pendirian menguruskan konflik berkaitan Dr Mahathir Mohamad serta tragedi Memali yang berlaku pada 1985.

Turut dipetik oleh bekas duta khas bertaraf menteri itu ialah peristiwa Fathul Makkah (Pembebasan Mekah) yang berlaku lapan tahun selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Kata Abdul Hadi, ada ahli PAS yang bertanya sama ada parti itu sudah memaafkan atau tidak pihak yang mencetuskan kejadian berdarah di Memali, Kedah.

Menurutnya sejarah Islam mengajar bahawa Nabi Muhammad sentiasa menganjurkan "perpaduan ummah" melalui dua pendekatan iaitu melalui peristiwa ijrah dan Fathul Makkah.

"Orang PAS sebut (tanya) kepada saya, boleh maaf ke peristiwa Memali? Boleh maaf ke peristiwa-peristiwa sebelum ini? Boleh maaf ke?

"Nabi Muhammad menganjurkan perpaduan ummah dengan dua pendekatan.

"Yang pertama dengan pendekatan penyatuan Islam melalui hijrah, kedua ialah pengampunan beramai-ramai ketika Fathul Mekah," katanya.

Dalam peristiwa tersebut, jelas Abdul Hadi, Nabi Muhammad memanggil semua penduduk Mekah termasuk individu yang mempunyai sejarah hitam dengan Islam.

Ikut nabi atau Malaysiakini

Antara mereka, katanya lagi, ialah lelaki yang membunuh Sayidina Hamzah semasa Perang Uhud, anak Abu Jahal (Ikrimah) dan pembesar Quraisy yang berperanan memerangi nabi, Abu Sufiyan.

Sedangkan kata Abdul Hadi nabi sendiri menyaksikan bagaimana pembunuh terbabit memperlakukan kekejaman ke atas jasad Hamzah, termasuk mencincang pahlawan terbabit.

Walaupun ada keinginan daripada nabi untuk membalas tindakan tersebut, kata Abdul Hadi, turun wahyu yang mengajar baginda mengenai pilihan yang ada bagi menangani individu yang memerangi Islam.

Pertama, kata Abdul Hadi, nabi diarah untuk menghukum tidak melebihi had; dan kedua ialah bersabar dan ia dinyatakan sebagai pilihan yang lebih baik buat Muhammad.

"Jadi (PAS) kena ikut ayat al-Quran, melakukan kemaafan atas segala kesalahan yang berlaku. Ini dasar yang tuhan tunjuk dalam al-Quran.

"Saya kata (jawaban atas soalan awal), nak ikut nabi ke nak ikut surat khabar? (atau) Nak ikut Malaysiakini? Nak ikut media?

"Ikutlah al-Quran, jadi sifat pengampunan boleh menyatukan ummah, ini konsep yang kita bawa," katanya dalam klip video pendek yang dikongsikan PAS di media sosial hari ini.

Tragedi Memali berlaku pada 19 Nov 1985 di Baling dan meragut 18 nyawa termasuk empat anggota keselamatan. Baki 14 yang lain ialah penduduk kampung yang menyokong PAS diketuai Ibrahim Libya.

Seramai 159 yang lain ditahan, termasuk 36 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu. PAS sejak sekian lama menyalahkan Mahathir sebagai punca tragedi tersebut, manakala bekas perdana menteri itu pula mendakwa ia adalah kesan daripada Amanat Haji Hadi yang diucapkan di Banggol Peradong ada 1981.

PAS mendakwa Operasi Angkara dilancarkan pihak keselamatan ketika itu bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

PAS menganggap penduduk kampung yang terkorban dalam tragedi berkenaan sebagai mati syahid.

Pembabitan secara langsung Mahathir dengan PAS di pentas PN akhir-akhir ini menyebabkan peristiwa Memali kembali diperkatakan.

Kata Abdul Hadi, jika dilihat kepada permusuhan di antara orang Arab pada zaman nabi itu dengan perseteruan Memali, ia adalah sangat jauh bezanya.

"Kalau banding permusuhan orang Arab berperang, bertumpah darah ribuan mati, dasyat. Kita (konflik) Melayu sikit sangatlah...

"Yang penting ialah perpaduan ummah itu," katanya.

Lihat Komen
ADS