Haram bagi umat Islam memutuskan hubungan kekeluargaan kerana politik kepartian, kata Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali.
Jelasnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya memutuskan "hubungan rahim" hanya kerana perbezaan pendirian politik kepartian
"Hubungan kekeluargaan khususnya hubungan mahram seperti ayah ibu, adik beradik, pak, serta mak saudara dan anak saudara haram diputuskan meskipun berbeza agama.
"Apatah lagi jika kerana berbeza parti politik.
"Islam tidak pernah mengajar diputuskan hubungan rahim kerana perbezaan pendirian politik kepartian," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Khairuddin yang juga bekas setiausaha dewan ulama PAS mengeluarkan kenyataan itu ketika pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri semakin hampir, dengan penamaan calon Sabtu ini.
Kenyataan itu dipercayai untuk mengingatkan penyokong politik supaya tidak terlalu taksub sehingga memutuskan hubungan kekeluargaan.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata jika perkara itu berlaku ia adalah sikap melampau dalam politik.
"Jika berlaku ia adalah satu sikap melampau dalam berpolitik. Politik sepatut menyatu bukan memecah.
"Hanya Khawarij dalam sejarah Islam yang memecah belahkan umat dengan mengkafirkan golongan yang berbeza aliran politik lalu mengkafirkan Khalifah Uthman, Ali dan beberapa sahabat," katanya lagi.
