Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes guru ponteng: TI-M turut gesa k'jaan lindungi cikgu pemberi maklumat
Diterbitkan:  Jul 26, 2023 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Transparency International-Malaysia (TI-M) turut serta menggesa kerajaan melindungi guru pemberi maklumat, Nurhaizah Ejab terhadap sebarang tindakan balas dan ugutan susulan menjadi saksi perbicaraan dalam kes saman membabitkan rakan setugasnya.

Badan itu merujuk kepada Nurhaizah selaku saksi perbicaraan dalam kes saman sivil oleh tiga bekas pelajar sebuah sekolah di Sabah terhadap guru bahasa Inggeris mereka kerana tidak hadir menjalankan tugas pada 2017.

Pada 19 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mendapati guru tersebut cuai kerana tidak bekerja tanpa sebab.

"Perbicaraan kes berkenaan mendedahkan mengenai ketidakhadiran, penafian hak, ugutan dan kekurangan akauntabiliti. Ia juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab penjawat awam tertentu dalam melaksanakan tugas dan tidak menepati moto kerajaan iaitu 'Saya yang menjalankan amanah'.

"Salah satu ciri tadbir urus yang baik ialah bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab terhadap tindakan seseorang dan melindungi pemberi maklumat yang sering mengambil risiko dalam bercakap benar dan mendedahkan kes salah laku," kata president TI-Malaysia, Muhammad Mohan.

Muhammad berkata, kerajaan hari ini perlu menggunakan pertimbangan kes tersebut untuk menambah baik budaya tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

Selain melindungi guru yang menjadi saksi perbicaraan, TI-M turut mencadangkan kerajaan menguatkuasakan klausa “surcaj” terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati cuai dalam melaksanakan tugas dan menyalahgunakan jawatan mereka.

Badan itu juga meminta kerajaan memudahkan pemberi maklumat dalam sektor swasta dan awam melaporkan isu tanpa ada rasa takut diugut, diganggu atau dihukum.

Nurhaiza adalah saksi perbicaraan dalam kes saman sivil terhadap guru Bahasa Inggeris, Mohd Jainal Jamran oleh tiga bekas pelajar SMK Taun Gusi – Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung.

Ketiga-tiga mereka mendakwa Jainal tidak hadir untuk mengajar selama beberapa bulan pada 2017 .

Bagi menyokong dakwaan itu, Nurhaiza mengemukakan kepada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dengan 80 rakaman video kelas dengan rekod masa ketika Jainal sepatutnya mengajar tetapi tidak menghadirikan diri.

Ketika memberi keterangan di mahkamah pada November tahun lalu, Nurhaiza berkata dia diugut oleh ketua Jabatan Bahasa Norhana Idek, dan seorang lagi guru, Awang Erawan, jika membangkitkan isu 'ponteng' membabitkan Jainal.

Dia juga mendakwa tayar keretanya pernah ditoreh pada 2015 dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Kumpulan advokasi “Tiada Guru” sebelum ini turut menggesa kerajaan menyediakan perlindungan pemberi maklumat terhadap Nurhaiza.

Petisyen bagi menuntut perlindungan terhadap Nurhaiza turut dilancarkan, dengan tujuan mendapatkan perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dan Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Acryl Sani Abdullah Sani.

Lihat Komen
ADS