Paling Popular
Terkini

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan mengaitkan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

Setiausaha Agung PKR itu membuat penegasan ini dalam suratnya bertarikh hari ini sebagai jawapan kepada surat tuntutan Sanusi.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini, pasukan peguam Saifuddin dari firma guaman Nav & Co menegaskan bahawa anak guam mereka berpegang pada kenyataan berkenaan.

“Anak guam kami menafikan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah atau mampu membawa sebarang implikasi fitnah.

“Anak guam kami tidak berniat untuk membicarakan perkara ini melalui surat-menyurat.

"Kami mempunyai arahan untuk menerima perkhidmatan proses undang-undang," kata peguam menteri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Sanusi, Wan Rohimi Wan Daud berkata surat maklum balas daripada peguam Saifuddin tidak mendedahkan sebarang penjelasan munasabah atau sebarang penjelasan sama sekali.

"Arahan kami adalah untuk meneruskan pemfailan saman (fitnah) (di mahkamah sivil)," kata Wan Rohimi sambil menambah mereka akan memfailkan tindakan sivil itu secepat mungkin.

Pada 21 Julai, Sanusi dilaporkan berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Saifuddin berhubung dakwaan kecurian REE dan isu pembiayaan RM1.6 bilion daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).

Sanusi sebelum itu mengumumkan hasratnya untuk menyaman Saifuddin berhubung dua isu berkenaan pada 16 Julai lalu.

Saifuddin mendakwa dia tidak mendedahkan kecurian REE untuk memburukkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujudnya isu penyelewengan pentadbiran.

Saifuddin juga sebelum ini mendakwa Sanusi telah menggunakan dana daripada Marris untuk penyelenggaraan jalan bagi tujuan pembangunan lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS