Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dominic Lau dilabel penakut, bacul kerana intai kerusi majoriti Melayu
Diterbitkan:  Jul 26, 2023 7:40 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Seorang pemimpin PAS Pulau Pinang menganggap Presiden Gerakan Dominic Lau sebagai "penakut" dan "bacul" kerana dilihat mengelak daripada bertembung dengan DAP dalam pilihan raya negeri bulan depan.

Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang Anas Soffy Abd Wahid berkata parti itu bukan saja membantah penyertaan Lau untuk menjadi calon PN di Bayan Lepas, bahkan di mana-mana kerusi majoriti Melayu di negeri berkenaan.

Bercakap kepada media semasa melakukan bantahan awal di Bayan Lepas petang ini, Anas Soffy berkata daripada 40 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Pulau Pinang, hanya 15 saja kawasan yang bermajoriti Melayu.

"Mengapa dia (Lau) nak ambil tempat yang sikit ini?

"Sepatutnya sebagai seorang tokoh heavyweight, dia patut bertanding dengan (mencabar) calon heavyweigh seperti Chow Kon Yeow atau Lim Guan Eng, atau di tempat lahir dia di Tanjung Bungah.

"Mengapa dia nak 'melangkau' ni?" katanya.

Dominic Lau

Tambah Anas Soffy sebagai seorang pemimpin Lau patut menunjukkan teladan kepada ahli Gerakan bahawa dia seorang pemberani dan bertanding menentang calon DAP.

Hanya dengan cara itu, katanya, ahli Gerakan bersemangat untuk berdepan dengan DAP Pulau Pinang.

"Ini dia penakut... macam mana jadi leader (pemimpin) ni? Adakah leader seorang penakut?" katanya.

Lau sudah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam PRN pada 12 Ogos depan dan membayangkan akan turun sebagai calon di salah sebuah DUN di Pulau Pinang.

Bagaimanapun dia belum mendedahkan kerusi yang disasarkan.

Jangan bermain dengan ‘api’

Semalam Pemuda PAS Tasek Gelugor sudah memberi amaran kepada Lau agar tidak bertanding di situ atau dia akan berdepan dengan protes daripada parti terbabit.

PN dijangka mengumumkan nama-nama calon mereka untuk Pulau Pinang pada malam ini dan nama Lau disebut-sebut akan diletakkan di Bayan Lepas.

Bayan Lepas adalah satu daripada tiga DUN di bawah kawasan parlimen Balik Pulau. Dua yang lain ialah Pulau Betong dan Teluk Bahang.

Ketiga-tiga kerusi DUN tersebut merupakan kawasan majoriti Melayu yang membentuk sekurang-kurangnya 65 peratus keseluruhan pengundi.

Pada 2018, Bayan Lepas dimenangi calon Amanah-PH, Azrul Mahathir Aziz, yang mengatasi lawan dengan kelebihan 5,245 undi. Pulau Betong pula dimenangi calon PKR-PH, Mohd Tuah Ismail, manakala Zolkifly Md Lazim (Bersatu) di Teluk Bahang.

Kata Anas Soffy sebagai seorang presiden Lau perlu berani dan membuktikan daya kepimpinannya kepada semua khususnya ahli Gerakan.

"Ini, orang dia bagi lawan DAP tapi dia tak berani lawan DAP.... apa punya manusia ni?

"Macam mana hangpa (kalian) boleh angkat presiden seorang yang bacul?" katanya.

Turut memberi kenyataan ialah tiga ketua cawangan PAS di kawasan parlimen Bayan Lepas iaitu Rozaini Abdul Rahim, Rusli Jaafar dan Alias Mat Isa.

Mereka berkata kerusi DUN Bayan Lepas sudah menjadi milik PAS secara tradisi sejak PRU ke-12 dan pengundi di situ hanya mahu memilih calon Melayu.

Jika Lau tetap dicalonkan di Bayan Lepas, kata mereka, jentera parti berkenaan akan memboikot dia semasa hari penamaan calon, dan billik operasi akan ditutup.

"Kami akan memastikan kekalahan kepada calon Gerakan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.

"Jangan sesekali bermain dengan api nanti api itu sendiri akan memakan diri.

"Jangan cabar kesabaran kami seluruh ahli dan jentera PAS DUN Bayan Lepas," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Lihat Komen
ADS