ULASAN | Kira-kira sejak dua bulan lalu PAS sudah mendominasi kempen bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan. Ia merupakan negeri yang diperintah parti itu sejak 33 tahun lalu dan sudah tentu kekuatannya sukar disangkal pihak lawan.
Terdapat lelucon umum dalam kalangan orang Kelantan untuk menyatakan betapa kuatnya PAS di negeri itu. Orang tempatan bergurau dengan mengatakan, kalau diletakkan anak batu untuk bertanding sebagai calon PAS di kubu kuat mereka, anak batu itu pun akan menang.
Sudah tentu ia perumpamaan melampau yang dibuat-buat, namun ia adalah ungkapan gurauan yang menjadi 'pemadam bara' kepada cubaan seseorang berbual mengenai senario politik di Kelantan.
Kini PAS melalui gabungan PN dilihat terus selesa terutama dengan gelombang besar diraih mereka pada PRU ke-15 lalu. Prestasi cemerlang PAS-PN menyapu bersih semua 14 kerusi parlimen di Kelantan membuktikan kelebihan sedang memihak kepada mereka.
Untuk PRN Ogos ini PAS Kelantan tampil dengan slogan Ppakat Pertahan yang membawa seruan kepada rakyat setempat supaya terus mempertahankan pemerintahan kerajaan negeri sekarang.
Pun begitu, dalam keadaan populariti dan pengaruh yang sudah membumi, misi dibawa PAS Kelantan itu tetap perlu dilaung-laungkan kerana pihak lawan turut melontar idea - sudah tentu dengan tawaran berlawanan - kepada pengundi.

Sejumlah 1,411,912 orang layak mengundi di Kelantan pada 12 Ogos depan dan mereka menjadi penentu sama ada ajakan PAS agar ppakat pertahankan kerajaan sekarang diterima, atau sebaliknya.
Pada masa sama PH dan BN menawarkan "Ubah Kelantan".
Kenapa perlu Ppakat Pertahan?
Sudah tentu PAS mahu mengajak rakyat seluruhnya memastikan mereka terus menjadi pentadbir dan mengekalkan kekuasaan walaupun kritikan keras parti-parti lawan menyenaraikan pelbagai isu berbangkit berkait tempoh PAS memerintah.
PAS Kelantan khususnya mesti mahu mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi ‘tiang seri’ pentadbiran itu sejak 1990.
Bulan sentiasa cerah di Kelantan
Walaupun sepanjang 33 tahun itu hanya 33 bulan Kelantan berada 'sekapal' dengan kerajaan persekutuan, PAS dilihat sudah kalis dengan perbezaan di peringkat federal.
Rakyat Kelantan yang memilih PN pada 2022 juga tidak memandang serius perihal keselarian di antara negeri dan persekutuan selepas sekian lama mereka berada di posisi negeri pembangkang.
Pengundi Kelantan juga biasanya tidak mengutamakan soal manifesto untuk disemak semula sama ada tawaran tersebut sudah dilunaskan atau perlu diungkit dan dipertanggungjawabkan. Atau membandingkannya dengan manifesto baru.

Faktor-faktor sedemikianlah yang akan menjadi kata putus letak duduknya pilihan mereka, dan mengapa pengundi Kelantan perlu menyahut seruan Ppakat Pertahan.
Dalam kempen-kempen awal setakat ini, pemimpin PAS dan PN nampaknya lebih banyak menyerang lawan dengan melontar persepsi dan dakwaan bahawa pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sejak tujuh bulan lalu sebagai gagal.
Peluru juga ditujukan kepada Anwar sendiri dan isu kerjasama dengan BN, serta pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 kes di mahkamah.
Orang ramai juga diperingatkan dengan ungkapan "no Anwar, no DAP" yang dilaung-laung Umno-BN termasuk Ahmad Zahid sendiri.
Di pihak PH dan BN pula gabungan itu sering menjelaskan bahawa kerjasama yang diwujudkan adalah atas ‘wahyu istana’ yang mahu melihat kerajaan perpaduan diwujudkan.
Selain itu, PN turut menyasarkan pelurunya dengan isu-isu terkait dasar ekonomi dan dakwaan ketidakmampuan Putrajaya menangani kos sara hidup.

Lebih penting PN juga menguar-uarkan betapa yakinnya mereka akan perubahan bakal berpihak kepada mereka di negeri-negeri yang ditadbir PH.
Data keputusan PRU ke-15 lalu menyaksikan PN mempunyai peluang cerah untuk menang di kesemua 45 kerusi DUN Kelantan, Bermakna PH dan BN memang perlu 'mendaki gunung yang amat tinggi' bagi menawan hati rakyat negeri itu.
Dengan kemenangan majoriti besar di semua kerusi parlimen semasa PRU ke-15 lalu, memang logiklah untuk mana-mana parti menggugat kekuasaan PN Kelantan.
Justeru tidak sukar untuk menjangkakan dengan yakin bahawa kerajaan Kelantan selepas 12 Ogos nanti akan terus ditadbir oleh PAS.
Namun pentadbiran itu dijangka sedikit berubah sekiranya rakan komponen PAS - yakni Bersatu - turut mampu memenangi kerusi yang mereka tandingi.
Tidak mustahil kerajaan Kelantan nanti akan menambah satu lagi posisi timbalan menteri besar - berbanding hanya seorang sekarang - sebagai wajah baru barisan exco kerajaan negeri.
BN-PH perlu kerja keras
Melalui slogan Ubah Kelantan, momentum kempen BN dan PH dilihat masih perlahan, namun untuk berlaku adil, mereka mendahului PAS dari segi mengumumkan calon yang akan bertanding.
BN kali ini tampil dengan lebih ramai muka baru yang diketengahkan sebagai calon, bermakna ramai jugalah pimpinan utama yabg tidak disenaraikan di 31 kerusi yang ditandingi.
Misalnya Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dan timbalannya Fatmi Che Salleh, serta ketua penerangan Umno negeri itu, Zawawi Othman, memilih untuk memberi laluan kepada muka baru di kerusi masing-masing.
Justeru calon-calon segar yang diangkat perlu bekerja keras berlipat kali ganda untuk menundukkan PAS, lebih-lebih apabila mereka tidak mempunyai track-record.
Ahmad Jazlan melalui ucapannya pada program Jelajah Perpaduan Madini Kelantan di Machang minggu lalu menegaskan betapa calon dan jentera mereka perlu bekerja berhabis-habisan kali ini.
Namun dia tetap kelihatan positif dan bersemangat.

“Tak ada perkara yang mustahil, insya-Allah dengan berkat kerja kuat saya sudah merasai kali ini rakyat Kelantan sedia untuk melakukan perubahan.
“Saya menyusun 10 jari bagi pihak 45 calon BN-PH supaya pengundi Kelantan memberi peluang untuk berjasa kepada rakyat Kelantan,” katanya di program yang turut dihadiri Anwar dan Ahmad Zahid itu.
Sementara itu, jika bersandarkan kepada keputusan PRU ke-15, BN-PH di negeri itu dilihat hanya mempunyai potensi di dua kerusi DUN saja iaitu Kota Lama dan Galas.
DUN Kota Lama akan diwakili PH yang menampilkan Dr Hafidzah Mustakim yang juga calon Parlimen Kota Bharu pada PRU ke-15 lalu.

Jika jumlah undi diperolehi Hafidzah dari DUN tersebut semasa penundian peringkat parlimen dicampur dengan undi diperolehi calon BN ketika itu, Kota Lama memang akan berpihak kepada BN-PH.
Begitu juga di kerusi Galas yang mempertaruhkan penyandangnya dari BN Mohd Syahbuddin Hashim.
Seterusnya, adalah sukar untuk membuat ramalan berdasarkan mood semasa pengundi khususnya mengenai sikap pengundi muda dan atas pagar.
Namun jika sebahagian besar mereka membuat pilihan seperti mana PRU ke-15 tanpa berbelah-bahagi, gerakan Ubah Kelantan tidak akan mengubah apa-apa.
