Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maybank akui kelalaian dalam e-mel 'dasar PM tidak jelas'
Diterbitkan:  Jul 28, 2023 5:48 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Kumpulan Maybank hari ini mengesahkan bahawa bank pelaburannya memang ada menghantar e-mel kepada pelanggan, yang antara lain menyebut "dasar tidak jelas Anwar" pada separuh pertama 2023.

Bagaimanapun, katanya, e-mel itu telah silap dalam memparafrasa (paraphrase) satu laporan strategi dan ini telah diperbetulkan dalam e-mel kedua pada hari berikutnya.

"Kami ingin menjelaskan bahawa pada petang 20 Julai 2023, Maybank Investment Bank telah menghantar jemputan e-mel kepada pelanggan terpilih untuk ke  webinar, bertajuk:  ‘Clearer Skies Ahead’ yang tertera petikan daripada laporan penyelidikan strategi kami yang telah diparafrasa dan diletakkan di luar konteks.

"Kami mengenal pasti kelalaian itu dan memperbetulkannya pada pagi berikutnya pada 21 Julai 2023 dan menghantar jemputan e-mel yang disemak semula kepada pelanggan terpilih untuk menggantikan jemputan awal," kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bank itu berkata ia kesal dengan "kekeliruan" yang ditimbulkan dan langkah-langkah telah diambil untuk mengelakkannya daripada berulang.

Tinjauan positif Maybank

Ia memaklumkan bahawa laporan strategi pelaburan bank itu adalah "secara meluas konstruktif" tentang prospek ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2023.

“Laporan itu mengetengahkan faktor utama seperti pertumbuhan sektor perkhidmatan yang dipacu oleh pemulihan pelancongan serta pemulihan dalam pelaburan langsung domestik (DDI).

"Ia juga menyebut tema menarik seperti hasil dividen yang tinggi, komitmen pengukuhan negara terhadap kemampanan, dan kejayaan jelas Malaysia dalam menarik FDI," katanya.

Ia menambah laporan penyelidikan lain daripada bank itu juga positif terhadap dasar kerajaan Madani, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang diumumkan baru-baru ini yang dipujinya sebagai "pemikiran transformatif".

Semakan fakta

Malaysiakini sebelum ini menerbitkan artikel semakan fakta yang mendapati Maybank Investment memang menghantar e-mel pada 20 Julai kepada pelanggannya.

Dalam e-mel itu, bank berkenaan berkata: "Sentimen positif daripada pembentukan kerajaan perpaduan tahun lalu tidak akan berterusan ke tahun baharu."

"Dasar PM yang tidak jelas dan ketidaktentuan dalam kestabilan kuasa juga membawa kepada kebimbangan pasaran."

Seterusnya, ia menyebut bahawa keadaan akan “bertambah baik” pada separuh kedua tahun ini, dengan Bajet 2024 dan pilihan raya negeri mungkin membawa kejutan positif.

Tangkapan skrin e-mel 20 Julai itu kemudiannya disebarkan di media sosial oleh ahli parlimen PAS Bachok, Syahir Sulaiman, tetapi dia dituduh oleh penyokong Pakatan Harapan sebagai memanipulasikan imej itu dan menyebarkan berita palsu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS