Papan iklan yang memaparkan gambar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan calonnya di Kuala Terengganu menjadi mangsa vandalisme.
Gambar Anwar pada papan iklan besar bersebelahan calon parlimen itu Azan Ismail disimbah dengan cat merah.
Identiti pelaku setakat ini belum diketahui.
Berita Harian melaporkan papan iklan itu terletak di simpang jalan menghala ke Masjid Terapung Kuala Terengganu dan disedari penduduk awal pagi tadi.
Sementara itu, Ketua PKR Kuala Terengganu Azan Ismail mengesahkan telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Azan berkata dia pada mulanya hanya menganggap ia kerja "budak-budak nakal" namun ia bertukar kepada semacam ugutan kepada perdana menteri.

"Gambar perdana menteri disimbah cat di bahagian muka. Kemudian ada di satu tempat mereka guna objek tajam, macam pisau. Kalau dia baling batu poster berkenaan akan koyak tetapi ini seolah-olah ditoreh di bahagian muka seperti disengajakan, seolah-olah memberi peringatan dan amaran.
“Jadi kita berpendapat ini berbaur ugutan dan pihak polis kata lebih baik kita ambil satu tindakan," katanya lagi.
Azan turut menasihati penyokong PH agar tidak melakukan tindak balas ekstrem terhadap apa yang berlaku dan menyerahkannya kepada polis.
"Terengganu ini harmoni, tiada buadaya sedemikian. Kempen pilihan raya sebelum ini pun tidak pernah tercemar dengan hal seumpama ini," katanya lagi.
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan serentak dengan pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos depan.
Ia diadakan selepas kemenangan calon PAS Ahmad Amzad Hashim dalam pilihan raya umum lalu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana terdapat unsur rasuah.
Ahmad Amzad yang juga bekas timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi ketika itu mempertahan parlimen Terengganu dengan majoriti 40,907 undi.
‘Takkan jalan kaki balik Terengganu’
Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, PAS mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan bas kepada pengundi luar untuk pulang.
Timbalan pesuruhjaya PAS negeri Alias Razak berkata, perkhidmatan bas ekspres tidak mampu menampung permintaan anak Terengganu yang mahu pulang mengundi.
“Takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki balik ke Terengganu?.Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pun tidak siap lagi. Kalau tak ada bantuan bas (daripada parti politik) , bagaimana mereka yang tiada kenderaan hendak balik?
“SPR kena fikirlah benda-benda macam ini dan sepatutnya sediakan (bas),” dia dipetik sebagai berkata oleh Kosmo! di Kuala Terengganu hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki sebelum ini menegaskan sebarang pemberian wang, bayaran tiket bas atau ole-ole sewaktu musim pilihan raya merupakan kesalahan pilihan raya.
Alias berkata, pengundi luar Terengganu dianggarkan kira-kira 60,000 orang.
