Walaupun berdepan 'gergasi' PAS di salah satu kerusi paling selamat buat parti itu, calon PH Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain mendakwa ketika hari pengundian kian menjelang dia dapat merasai isyarat kian jelas: semakin ramai menolak lawannya, Mohd Amar Abdullah.
Syed Mohd Alidustur mendakwa semasa berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, ramai pengundi menyatakan rasa tidak puas hati ke atas naib presiden PAS berkenaan.
Antara lain, katanya, pengundi berasa kurang senang dengan sikap serta cara penyandang DUN Panchor itu menangkis setiap serangan pihak lawan.
"Rakyat Kelantan amat mengenali Mohd Amar sebagai timbalan menteri besar Kelantan, mereka kenal bagaimana tutur katanya yang lantang mempertahankan kerajaan negeri.
"Apa yang keluar dari mulut dia itulah yang menjadi rungutan rakyat.
"Kenyataan-kenyataannya sebagai orang penting kerajaan negeri itu sendiri menjadi punca penolakan berkenaan," katanya kepada Malaysiakini semasa berkempen di Kampung Pasir Kasar, Kota Bharu, semalam.

Untuk rekod DUN Panchor merupakan antara kubu kuat PAS di Kelantan dan Mohd Amar menjadi wakil rakyat bagi kawasan tersebut sejak empat penggal lalu.
Ia terletak dalam kawasan parlimen Pengkalan Chepa. Selain Panchor, dua lagi kerusi DUN di situ ialah Chempaka dan Kijang.
Pelbagai cubaan menundukkan PAS di Panchor belum pernah berjaya. Namun pertembungan kali ini dilihat menarik apabila pembabitan Mohd Amar - yang juga ketua PAS Pengkalan Chepa - dalam isu pemilihan calon kerusi Chempaka mungkin memberi kelainan pada 12 Ogos ini.
Ada tapak markas tak aktif
Di sebalik nama Nik Abduh Nik Abdul Aziz disebut-sebut ramai akan menjadi calon bagi kerusi DUN Chempaka, anak bekas menteri besar Kelantan itu tidak terpilih menyebabkan dia mengumumkan 'berpuasa' daripada politik untuk tempoh yang belum ditetapkan.
Bapa saudara Nik Abduh, Nik Din Nik Mat, baru-baru ini menggesa pengundi Panchor agar menolak Mohd Amar kerana didakwanya bertanggungjawab mengetepikan bekas ketua Pemuda PAS Malaysia itu.
Kata Syed Mohd Alidustur, rasa tidak puas hati pengundi di Panchor dapat dilihat dengan ketara apabila ia disuarakan secara terbuka.
"Mereka tidak lagi suka kepada tutur kata Mohd Amar selain isu-isu lain melibatkan infrastruktur yang belum diselesaikan," katanya.

Tambah ketua PKR Pengkalan Chepa itu lagi wujudnya pertembungan membabitkan penolakan keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Mohd Amar juga memberi impak kepada penyokong PAS.
Menurut Syed Mohd Alidustur, dia percaya pengundi di kawasan Panchor akan banyak menilai kembali sokongan mereka kepada Mohd Amar berdasarkan perkembangan semasa dihadapi PAS.
"Selain itu secara fizikal kami dapati markas-markas PAS termasuk di kawasan kediaman keluarga Allahyarham Tok Guru (Nik Aziz) di Pulau Melaka tidak semeriah seperti pilihan raya sebelum ini.
"Malah kami lihat beberapa tapak markas mereka tidak diaktifkan.
"Kami dapati penolakan itu benar-benar berlaku, saya harap ia memberi kesan positif kepada PH dan BN," katanya.
