Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahredzan kemuka saman fitnah ke atas calon PN Sungai Ramal
Diterbitkan:  Aug 5, 2023 9:07 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan sudah memulakan langkah perundangannya untuk menyaman pemimpin PAS yang juga calon pilihan raya PN, Mohd Shafie Ngah.

Menurut Syahredzan, tindakan itu diambil selepas Mohd Shafie gagal memenuhi tuntutannya sebelum ini.

Kata Syahredzan writ saman tersebut difailkan peguam bagi pihaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu.

"Melalui tindakan saman fitnah ini, saya telah - antara lain - menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf dan perintah untuk menghalang Mohd Shafie daripada terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memfitnah saya," katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Syahredzan yang juga seorang peguam menambah writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut akan diserahkan kepada calon PN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal selepas ini.

"Saya juga telah memohon suatu injunksi interim bagi menghalang Mohd Shafie daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan lain yang berunsur fitnah terhadap saya sementara menunggu perbicaraan tindakan saman tersebut.

"Permohonan saya ini akan didengar kelak," katanya.

Pada 12 Julai lalu Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai tuntutan Syahredzan agar Mohd Shafie memohon maaf kepadanya dalam tempoh 48 jam, selain membayar pampasan ekoran kenyataan fitnah yang dibuat pemimpin PAS berkenaan.

Mohd Shafie didakwa membuat beberapa kenyataan fitnah terhadap Syahredzan dalam dua majlis anjuran PN yang diadakan pada Okt 2022 dan pada awal Julai.

Ia turut disiarkan di media sosial selain mendapat liputan media.

Menurut Syahredzan sebelum ini dia sudah memberi amaran agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah kerana mereka mungkin akan berdepan dengan tindakan mahkamah.

Katanya langkah itu diambil bagi menegakkan haknya.

"Dalam keghairahan kita berkempen dalam pilihan raya negeri ini, saya berharap semua pihak dapat berpolitik secara matang dan sejahtera, serta menjaga hubungan sesama kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS