Paling Popular
Terkini

Pemimpin PAS yakin kemenangan akan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini meskipun tanpa gabungan itu mengadakan ceramah.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, sepanjang pengalamannya, PRN kali ini merupakan pilihan raya yang paling diyakini mampu memberi kemenangan besar kepada gabungan itu.

"Di hadapan kita ini ada satu tarikh yang sangat penting iaitu tarikh untuk kita tunaikan tanggungjawab pada 12 Ogos.

"Sebagaimana disebutkan, tak payah ceramah dah sebenarnya. Tetapi oleh kerana memenuhi tuntutan untuk memastikan gerak kerja semuanya dalam keadaan siap-siaga, jadi antara agendanya kita buat ceramah.

"Kerana di seluruh negara rakyat dah tahu siapa yang ada di hadapan kita yang kita nak lawan, siapa yang kita nak pilih.

“Inilah dalam sejarah sepanjang pengalaman ambo (saya) satu-satunya pilihan raya yang kita rasa dengan penuh keyakinan dengan izin Allah kita akan mencapai kemenangan yang besar," katanya sambil memetik ayat al-Quran.

Dia berkata demikian dalam ceramah mega Ppakat Pertahan peringkat dewan undangan negeri (DUN) Kelaboran di Tumpat, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dan calon PN DUN Kelaboran Mohd Adanan Hassan.

Yakin skor 5-1

Sementara itu Ahmad Marzuk berkata, jika PN diibaratkan berlawan bola sepak, gabungan itu sudah menang skor 5-1 di enam negeri yang terlibat dalam PRN.

Malah dakwannya, PN juga mendapat peningkatan 20 peratus sokongan pengundi kaum Cina di Pulau Pinang.

"Kalau dikatakan enam buah negeri ini ibarat kita boleh (skor) 5-1 kalau berlawan bola sepak. Maklumat terbaru yang datang kepada kita tidak mustahil (6-0) kerana sebahagian besar daripada pengundi-pengundi kaum Cina, yang menjadi pengundi teras DAP di Pulau Pinang sudah pun menunjukkan sokongan kepada kita meningkat kepada 20 peratus.

"Dalam masa berbaki sebelum hari pembuangan undi ini, tidak mustahil kerana ada di hadapan kita sebuah kerajaan yang terdiri parti-parti gabungan parti yang khianat," katanya.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama) itu turut merujuk kepada pertembungan kempen antara PH dan BN dalam PRU ke-15 lalu yang kemudiannya bergabung membentuk kerajaan persekutuan.

Lihat Komen
ADS