Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari akan meneruskan tindakan samannya terhadap Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapan menteri besar sementara Kedah itu yang didakwa berbaur fitnah ketika berkempen di Jitra, Kedah baru-baru ini.
Amirudin berkata pihak peguamnya akan menghantar tuntutan saman kepada pemimpin PAS terbabit esok atau selewat-lewatnya pada Khamis.
Dia berkata langkah berkenaan diambil demi menjaga kredibilitinya sebagai menteri besar, selain nama baik pentadbiran kerajaan negeri serta penjawat awam yang turut terkena tempias dakwaan tidak berasas Muhammad Sanusi.
“Saya kena jaga kredibiliti (sebagai menteri besar), bukan tak tahan dengan kritikan, tapi ini kita kena ambil (langkah) pertahankan integriti dan tata kelola pentadbiran kerajaan Selangor.
“… takkan kita tak boleh saman untuk pertahan diri (daripada fitnah).
"Ini kes bercakap (dakwaan) tanpa fikir, sudah banyak kali. Hina saya tak apa tetapi ini (fitnah) kredibiliti pentadbiran dan penjawat awam,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Gombak di Taman Samudera, Batu Cave hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa wujud skandal di antara Amirudin dengan pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan, yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.
Dakwaan berkenaan diucapkan Muhammad Sanusi semasa berceramah di Dataran Darul Aman, Jitra.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata tuduhan Muhammad Sanusi itu adalah tindakan terdesak.
Katanya isu berkenaan telah dijawab beberapa kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini.
“Minggu akhir kempen ini, mereka (pembangkang) dilihat lebih galak menabur fitnah dan kitar semula dakwaan yang sebahagian besarnya sudah dijawab dalam sidang DUN… boleh rujuk dengan hansard sidang DUN.
“Tuduhan seperti ini amat memalukan dan tidak menunjukan status dia (Muhammad Sanusi) sebagai pemimpin,” katanya.
Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan calon Kerajaan Perpaduan (PH-BN) di Selangor menggunakan jentera atau program kerajaan untuk berkempen, Amirudin yang juga calon PH-BN bagi DUN Sungai Tua menafikan dakwaan berkenaan.
“Dalam program kerajaan negeri, kita elak untuk membuat ucapan politik, tidak mempromosikan calon, kita cuba elak sebarang kempen atau guna jentera kerajaan,” katanya.
PRN Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu diadakan serentak dengan hari pengundian pada Sabtu ini.
- Bernama
