Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kod pakaian’ pusat servis: Tumpu pada kualiti perkhidmatan, gesa MCA
Diterbitkan:  Aug 8, 2023 6:22 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Syarikat swasta wajar memberi tumpuan terhadap kualiti perkhidmatan kepada pelanggan berbanding mengehadkan kebebasan berpakaian di premis mereka, kata MCA.

Ketua Pemudanya Nicole Wong berkata sekatan melampau menyebabkan Malaysia dilihat sebagai negara yang ketinggalan zaman dan feudal.

Wong berkata demikian susulan kontroversi di pusat servis kenderaan Perodua di Semambu, Kuantan yang meletakkan notis larangan pemakaian seluar dan skirt pendek, baju tanpa lengan dan jeans koyak di premis mereka. 

"Kontroversi yang berlaku akhir-akhir ini berkaitan dengan isu pakaian sebenarnya tidak harus berlaku. 

“Selagi pakaian tersebut sesuai dan sopan, sama ada di premis kerajaan atau swasta, sepatutnya tidak sewajarnya terhadap campur tangan  berlebihan terhadap kebebasan berpakaian orang ramai. 

“Rakyat Malaysia seharusnya mengekalkan semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. 

“Memang benar, dalam sesetengah keadaan, pengusaha syarikat boleh menetapkan sekatan pakaian, seperti di restoran mewah yang mensyaratkan pelanggan berpakaian formal sebelum masuk, tetapi untuk kebanyakan situasi dan perkhidmatan biasa, larangan yang berlebihan ini dianggap sebagai langkah yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nicole Wong

Notis kod pemakaian itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial. 

Bagaimanapun, menurut Wong, dia gembira apabila pusat servis itu menarik balik notis tersebut dengan segera dan memberikan penjelasan. 

‘Hanya galakan’

Pengurus perkhidmatan pusat servis itu dalam kenyataannya yang disiarkan Sin Chew Daily berkata mereka menurunkan notis itu selepas ia tular bagi mengelakkan salah faham. 

Keputusan itu, katanya, dibuat selepas berbincang dengan ibu pejabat. 

Katanya, selepas ini pusat servis itu akan terus memberikan perkhidmatan seperti biasa tanpa mengambil kira pakaian pelanggan mereka.

Berkaitan notis itu, dia menjelaskan ia hanya berbentuk galakan dan tidak diwajibkan.

Lihat Komen
ADS