Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Meniti jalan lurus kerjasama kerajaan perpaduan

ULASAN | Sepanjang tempoh berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini, rata-rata tumpuan PH adalah mencari formula paling mujarab untuk memastikan penyokong BN dapat memberikan undi mereka kepada gabungan berkenaan.

Tinjauan dan respon penganalisis mendapati, penyokong PH tidak ada masalah untuk memenangkan calon BN, tetapi untuk keadaan sebaliknya terdapat geseran (friction) pada skala tertentu mengikut lokaliti.

Oleh sebab itu, banyak siri penerangan di lapangan dan gerakan jentera calon disusun dengan tidak saja menyasarkan orang awam atau pengundi atas pagar.

Pada tahap tertentu sebuah task fore dibentuk khusus untuk menumpukan penerangan kepada ahli dan penyokong BN khususnya Umno.

Satu perkara yang kita semua tahu dan perlu akui ialah, kerjasama politik yang membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU ke-15 dibidankan dari dalam istana.

Ia tidak datang dari mana-mana bilik mesyuarat hotel atau ibu pejabat parti politik. Cetusannya, kesedarannya, persefahamannya, persetujuannya, permeteraiannya, kesaksiannya - semua lahir secara tertib dan beradab.

Hal itu bukan bermakna istana mencampuri urusan politik kepartian, tetapi demikianlah tafsiran dan peranan sebuah institusi yang disebut sebagai “raja payung kedaulatan negara”.

Pada masa sama perlu diakui hakikat bahawa di sebalik usaha berkenaan, datang pula detik pihak tertentu yang mempertikaikannya. Mereka enggan menerima hakikat dan dikelirukan oleh falasi sendiri.

Langkah tidak mudah

Hujah "sudah cukup jumlah" dari balik tingkap kereta mewah itu kemudian dimatikan oleh realiti yang dibuktikan dengan jelas di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Tambun, Anwar Ibrahim, ternyata memiliki jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk menjadi perdana menteri bahkan ia tercatat di parlimen.

Rentetan kerjasama berkenaan - bagi memastikan apa yang tercetus benar-benar difahami dan dimeterai secara tuntas - maka datanglah ujiannya.

Sekarang adalah detik untuk menguji kerjasama tersebut dan kemuncaknya bakal tiba Sabtu ini di enam negeri - Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ia akan menjadi manifestasi pembuktian kejujuran sebuah perjanjian.

Covalent politik yang mempertemukan PH dan BN dalam PRN ini hakikatnya tidak mudah dibentuk. Salah satu faktor utamanya ialah masa.

Kita juga perlu menginsafi bahawa mana mungkin perseteruan selama puluhan tahun - dan disertai jutaan jiwa - boleh diselesaikan dalam tempoh yang tidak sampai satu tahun.

Namun kerja Tuhan sentiasa mengatasi segalanya.

Ahli dan penyokong BN - khususnya Umno - bukan sahaja perlu menongkah pegangan lama mereka terhadap Anwar Ibrahim dan DAP, bahkan harus menepis bisikan-bisikan dalaman yang melahirkan keraguan.

Apatah lagi kalau bisikan-bisikan yang bersulam kata-kata Anak Kecil Main Api.

Bukan sekadar pembela Melayu

Namun sebenarnya keputusan politik yang dibuat oleh Umno tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan parti itu, tambahan pula jika dianggap mengkhianati Melayu.

Sedikit sebanyak ia hanya mungkin bercanggah dengan sentimen peribadi, atau kepentingan tertentu. Namun langkah diambil Umno untuk bersama PH memang dibenarkan dan selari dengan tujuan parti itu ditubuhkan.

Justeru apakah buktinya?

Lihat Fasal 3 Perlembagaan Umno yang memperincikan asas dan tujuan parti itu dilahirkan.

Perkara 3.4 menyatakan Umno ditubuhkan - antara lain - bertujuan membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.

Mengukuhkan lagi tujuan tersebut, fasal 3.7 pula menyatakan Umno mempunyai hala tuju untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan hak keistimewaan orang Melayu, bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli.

Dua fasal tadi seharusnya cukup untuk menjadi sandaran bahawa Umno mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada hanya menjadi pelindung dan suara orang Melayu.

Umno juga berperanan menjadi jambatan dan pemain utama dalam mengintegrasikan hubungan antara kaum di Malaysia bagi memastikan nasib semua rakyat Malaysia dibela.

Bukankah hal itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Umno?

Kemudian timbul pula persoalan dan keraguan lain yang lebih emosional: Mengapa DAP dan Anwar?

Selain daripada hujah bahawa kedudukan politik memaksa Umno bertindak menjayakan gagasan kerajaan perpaduan, fasal 10 perlembagaan parti itu pula menunjukkan perkara tersebut direstui.

Apa sandarannya?

Fasal 10, Perkara 10.1 yang membicarakan tanggungjawab Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mendahului 16 perkara yang lain dalam fasal tersebut.

Ia menyatakan Umno yang berada di bawah kuasa dan tanggungjawab MKT boleh menjalankan sebarang usaha bersama dengan kumpulan-kumpulan lain atas hal-hal politik atau apa-apa yang sesuai dengan tujuan parti.

Nah! Itu bermakna keputusan yang diambil Umno kini tidak memudarkan sedikit pun keaslian parti terbabit malah ia - secara sedar atau tidak - sebenarnya melaksanakan asas dan tujuan parti berkenaan.

Malah fasal 3.4 dan 3.7 boleh dilaksanakan apabila peruntukan 10.1 digunakan secara bijaksana dan penuh hikmah.

Mencapai matlamat penubuhan Umno

Itu juga menjadi sandaran kuat mengapa sebarang cubaan memesongkan kefahaman orang Umno serta meragui ijtihad MKT adalah batil.

Penyertaan Umno sememangnya mengukuhkan, menstabilkan, serta meyakinkan naratif yang dibina bagi kerja-kerja menarik pelabur dan memacu ekonomi negara.

Memang benar di sana sini akan ada perbezaan pandangan atau pendekatan. Ia tidak akan dapat dipadamkan terus namun kini medannya jauh berbeza.

Kalau dahulu percanggahan pendapat diluah secara terbuka di ruang awam dan media, melalui kerjasama sekarang sebarang kerumitan boleh dirungkaikan dengan teduh, damai dan dingin.

Perkongsian rasa serta usaha mencari penyelesaian dilakukan secara tertutup dan dari hati ke hati di meja rundingan.

Natijahnya, rakyat yang kepenatan melihat satu demi satu kemelut memendungkan cuaca politik negara tidak perlu lagi terus berbalah. Kestabilan pula dapat diwujudkan.

Sekali gus asas dan tujuan Umno pun dapat dicapai.

Justeru yakinlah bahawa model ini adalah ramuan konkrit untuk Malaysia terus melangkah ke hadapan.

Cabarannya, indikatornya, jangka hayatnya bagaimanapun terletak di atas pundak dan rasional pengundi BN khususnya Umno dalam PRN ini.


AZHAR RAHMAN ialah ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS