Paling Popular
Terkini

ULASAN | Semasa berdebat dengan Ahmad Shabery Cheek pada 2008, Anwar Ibrahim meluahkan keyakinannya untuk menurunkan harga minyak dari sekitar RM2.60 hingga 2.70 seliter kepada kira-kira RM2.20 dengan tambahan 50 sen subsidi bagi setiap liter.

Ketika itu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan subsidi ialah sebanyak 30 sen seliter ekoran harga minyak dunia yang tinggi (kira-kira RM3 seliter).

Pada masa sama, kerajaan ketika itu juga menetapkan harga siling petrol ialah RM2.70 seliter. Justeru sebarang kenaikan akan ditanggung dalam bentuk subsidi.

Dalam konteks ini, tambahan subsidi 50 sen seliter seperti diyakini oleh Anwar menjadikan keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan sepatutnya sebanyak 80 sen seliter.

Satu pelarasan harga minyak kemudiannya dibuat oleh kerajaan Abdullah susulan penurunan harga minyak dunia. Namun subsidi 30 sen seliter dikekalkan.

Harga RON97 menurun sebanyak 15 sen kepada RM2.55 seliter manakala RON92 turun sebanyak 22 sen kepada RM2.40 seliter.

Pada 2009 kerajaan memperkenalkan RON95 bagi menggantikan RON92 pada harga RM1.80 dengan harga yang 5 sen lebih mahal. Subsidi 30 sen seliter dikekalkan bagi penjualan RON95, manakala RON97 dijual pada harga pasaran bermula RM2.05 seliter (kenaikan sekitar 20 sen seliter).

Menuju PRU ke-13 (2013) harga minyak RON97 adalah sekitar RN2.05 dan RM2.90, manakala RON95 naik 10 sen kepada RM1.90.

Dalam siri kempennya, Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP) membuat tawaran menambah peruntukan subsidi bagi menurunkan harga petrol. Mereka mengunjurkan sebanyak RM1.7 bilion hingga RM6.8 bilion peruntukan tambahan diperlukan sekiranya harga minyak mahu diturunkan sebanyak 10 sen hingga 45 sen.

Seru subsidi dikembalikan

Pada PRU tersebut, Pakatan Rakyat gagal mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan sekalipun menguasai undi popular (51 peratus).

Pada Sept 2013, kerajaan Najib Razak menaikkan harga RON95 sebanyak 20 sen kepada RM2.10 seliter (subsidi dikurangkan kepada 63 sen seliter) dan naik 20 sen sekali lagi pada Okt 2014 menjadikan RON95 dijual pada harga RM2.30 seliter (subsidi dikurangkan kepada 28 sen seliter).

Tanggungan besar subsidi yang tinggi dan didorong program rasionalisasi subsidi yang dilancarkan pada 2010, kerajaan Najib mengapungkan harga RON95 secara terkawal mulai 1 Dis 2014, pada kadar RM2.26 seliter sejajar dengan pola penurunan harga minyak dunia.

Melalui mekanisme apungan terkawal, harga minyak RON95 ditentukan setiap bulan. Pada 2015, harga jualan minyak RON95 ialah sekitar RM1.70 hingga RM2.15.

Rafizi Ramli

Harga terendah yang dicatatkan ialah pada Feb 2015, manakala pada Julai ia mencatatkan harga tertinggi.

Rafizi Ramli yang menjadi Naib Presiden PKR ketika itu menyeru agar dasar subsidi 30 sen seliter pada zaman Abdullah dikembalikan. Mengambil harga Jan 2015, subsidi 30 sen seliter akan menjadikan harga minyak RON95 dapat dijual pada harga RM1.61 seliter.

Mulai April 2017, kerajaan Najib memperkenalkan mekanisme baru penetapan harga minyak yang dilaksanakan secara mingguan. Melalui kaedah ini, harga minyak mingguan RON95 adalah pada kadar RM1.89 hingga RM2.38 seliter.

Ia berlanjutan sehingga PRU ke-14 (Mei 2018).

Pulangkan sindiran ke PH

Susulan daripada harga minyak mingguan yang tidak menentu (apungan bebas), PH menyertai masuk ke PRU dengan manifesto mahu menstabilkan harga minyak sebagai langkah menangani ketidaktentuan harga pasaran.

BN kalah buat pertama kali setelah berkuasa lebih enam dekad. Mandat rakyat beralih kepada PH dan kerajaan diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Antara langkah awal kerajaan ialah mengekalkan harga RON95 pada kadar RM2.20 (seperti sebelum PRU ke-14) meskipun harga minyak dunia - yang melonjak naik sebelum turun mulai Dis 2018).

Harga itu dikekalkan sehingga Dis 2018 sebelum kerajaan mengumumkan satu mekanisme baru penetapan harga minyak mulai Jan 2019.

Pada Dis 2018, Khairy Jamaluddin dan Najib mengulang sindiran cukai minyak yang dibuat oleh Tony Pua dalam tahun 2017 apabila kerajaan PH mengekalkan RON95 pada kadar RM2.20 seliter sekalipun harga minyak dunia turun.

Najib menganggarkan harga minyak sepatutnya pada kadar RM1.90 hingga RM2 seliter berbanding RM2.20.

Khairy Jamaluddin

Rafizi - walaupun berehat daripada politik selepas PRU ke-14 - juga menyuarakan sentimen yang sama. Harga minyak RON95 sepatutnya boleh diturunkan sebanyak 20 sen, dan dijual antara RM1.95 hingga RM2.18 seliter.

Pada Jan 2019, kerajaan PH mengumumkan harga siling RON95 ialah pada kadar RM2.08 seliter. Sebarang kenaikan melebihi kadar itu akan diserap melalui subsidi.

RON95 dijual pada kadar lebih rendah (RM1.93 seliter pada Jan 2019) sebelum meningkat kepada RM2.08 seliter sehingga pandemik Covid-19 melanda (Mac 2020).

Harga minyak dunia turun ke paras terendah pada Mac 2020. Minyak mentah dunia didagangkan pada harga sekitar AS$20 setong.

Sebagai perbandingan, kali terakhir harga dagangan minyak mentah dunia pada kadar AS$20 ialah pada awal 2000-an.

Muhyiddin Yassin

Pada Feb 2021 (selepas PH dijatuhkan) kerajaan Muhyiddin Yassin menurunkan harga siling RON95 daripada RM2.08 kepada RM2.05 seliter dan ia kekal sehingga sekarang.

Bagaimana harga minyak pada hari ini?

Pada anggarannya harga apungan RON95 dan RON97 berbeza sekitar 30 sen seliter. Ketika ini RON97 dijual pada kadar RM3.40 seliter manakala RON95 dijual pada harga siling RM2.05 seliter.

Dengan anggaran perbezaan sekitar 30 sen seliter, harga sebenar RON95 sepatutnya sekitar RM3.10 seliter.

Berbanding harga jualan, kerajaan Madani menyediakan subsidi sekitar RM1 bagi setiap liter pembelian. Pengguna hanya membayar dua per tiga daripada keseluruhan kos.

Sebagai contoh, pengguna bakal mendapat subsidi RM200 sebulan sekiranya mereka mengisi minyak 40 liter sebanyak 5 kali sebulan.

Bagi perbandingan, harga minyak hari ini adalah lebih murah berbanding harga pada 2008 sekalipun harga minyak mentah dijual pada kadar yang lebih kurang sama setiap tong.


TSAQEEF MOHD ialah warganegara Malaysia yang gemar membaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS