Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pesawah dalam kawasan Mada terkesan akibat kemarau di Perlis
Diterbitkan:  Aug 9, 2023 12:26 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Langkah proaktif diambil oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menyediakan pelan mitigasi untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air ketika cuaca panas pada Mac hingga Mei lepas telah membantu pesawah di kawasan MADA daripada mengalami kerugian.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar & Pembasmian Kemiskinan dan Perusahaan Perladangan & Komoditi Perlis Razali Saad berkata langkah itu menyebabkan tidak berlaku kerosakan pada tanaman padi di negeri ini.

“Berdasarkan rekod MADA, tiada pesawah di dalam kawasan MADA terkesan akibat kemarau kerana aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2023 belum dilaksanakan secara meluas ketika itu.

“Bekalan air mencukupi dan tidak berlaku masalah kekurangan air di petak sawah, manakala situasi takungan air di empangan Timah Tasoh juga berada pada tahap yang memuaskan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar hari ini.

Razali Saad

Razali berkata demikian bagi menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) berhubung jumlah petani dan pesawah yang terkesan akibat perubahan cuaca yang tidak menentu tahun ini.

Beliau berkata pelan mitigasi MADA merangkumi beberapa perkara iaitu mancadangkan agar pesawah mengamalkan penanaman padi kaedah tabur terus kering, pemantauan berterusan situasi takungan air di empangan dan membekalkan pam mudah alih kepada pesawah di kawasan yang memerlukan.

Katanya selain itu, pihak MADA juga melakukan penyelenggaraan sistem pengairan, operasi pembenihan awan mengikut keperluan, memberi bantuan dan khidmat nasihat teknikal kepada pesawah yang terjejas serta melakukan penyelidikan seperti pembangunan varieti yang bersesuaian dengan perubahan cuaca.

Razali berkata namun demikian, pesawah yang berada di luar kawasan MADA mengalami kesan akibat pengurangan jumlah hujan yang mempengaruhi aktiviti pembajakan tanah dan penanaman padi.

Katanya, berdasarkan rekod daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) setakat Julai 2023, sebanyak 501 hektar keluasan tanaman padi melibatkan 434 pesawah telah terkesan akibat perubahan cuaca yang tidak menentu itu.

Beliau berkata Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah mengedarkan sebanyak 10 unit pam air bernilai RM50,000 kepada peserta projek kelompok padi bagi tujuan pemindahan dan agihan air daripada sumber air ke petak sawah.

“Selain itu, Jabatan juga telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan dan saliran seperti membina baharu dan menyelenggara parit ladang sedia ada, membina pintu kawalan air, membina dan memasang longkang konkrit untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan tanaman padi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS