Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menegur pemimpin PAS Kelantan kerana membiarkan penduduk negeri itu mencari penyelesaian sendiri dalam isu bekalan air bersih.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan pemimpin kanan PAS Kelantan.
Menurut Nik Nazmi, melalui pandangan yang dilontarkan timbalan menteri besar sementara Kelantan, Mohd Amar Abdullah, ia menggambarkan PAS negeri itu sanggup membiarkan rakyat terbeban.
"Kenyataan Mohd Amar membayangkan kerajaan PAS lebih rela membiarkan rakyat menanggung beban kewangan menggali air bawah tanah yang membahayakan kesihatan sendiri (dan ia) amatlah tidak patut bagi seorang wakil pegawai tinggi kerajaan serta berpendidikan agama," katanya dalam kenyataan ringkas petang ini.

Terdahulu PAS Kelantan menganggap isu bekalan air bersih bukanlah masalah besar bagi penduduk di negeri terbabit namun dimainkan oleh pihak lawan untuk memburukkan pentadbiran negeri.
Mohd Amar Abdullah memberitahu, di sebalik isu bekalan air bersih, penduduk Kelantan mempunyai kaedah tersendiri bagi mengatasinya.
Kata Naib Presiden PAS itu lagi, penduduk Kelantan yang terjejas dengan masalah air dapat memahami situasi tersebut dan mampu menguruskannya dengan menggali perigi atau membuat telaga tiub.
Masalah berkenaan, kata timbalan menteri besar sementara Kelantan itu lagi, "selesai sendiri" dengan inisiatif penduduk terbabit.

"Orang kampung sendiri, dia faham dan kadang-kadang kes (bekalan air) itu dia selesai sendiri.
"Contoh, kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi. Dia (masyarakat) cari penyelesaian sendiri.
"Sebab itu bagi (penduduk) di kampung, ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar," katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Mohd Amar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, pada masa sama kerajaan negeri memberikan penjelasan kepada penduduk negeri mengenai apa yang berlaku di sebalik krisis tersebut.
Boleh minum terus
Apabila penerangan disampaikan, dakwanya, orang ramai dapat menerima dan memahami kesulitan berkenaan.
"Tetapi yang jadi kecoh sebab ini politik dan yang (jadi) sensasi politik. Benda kecil pun jadi besar... itu masalahnya," kata Mohd Amar.
Dia bagaimanapun mengakui ada tempat memang berdepan dengan masalah air bersih dan kerajaan negeri membantu penduduk setempat dengan menghantar bekalan dengan lori tangki.
"Ada tempat kita selesaikan, cuma mungkin kelemahan kita ini kurang menyampaikan apa yang kita buat kepada masyarakat.
“Contoh di Teluk Mesira, Bachok, yang mengalami masalah air (semasa) sebelum saya jadi wakil rakyat. Alhamdulillah sekarang sudah selesai apabila kerajaan negeri buat loji rawatan air mini.
"Kerajaan buat khusus di kawasan Teluk Mesira dengan menggunakan teknologi yang dicipta oleh anak Kelantan sendiri, dipanggil teknologi oksigen untuk membersihkan air.
"Saya tengok masa kita buat, air boleh minum terus dari paip kerana air itu bersih," katanya yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Pengkalan Chepa pada Sabtu ini.
Mohd Amar berdepan cabaran daripada calon PH, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain.
