Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Gedebe sebagai resipi politik Kelantan

KOMENTAR | Media sering memomokkan Kelantan sebagai negeri mundur. Rakyatnya miskin. PAS didakwa tidak berbuat apa-apa selepas dapat memerintah selama 33 tahun.

PAS didakwa lebih seronok membiarkan Kelantan ketinggalan supaya lebih senang mentadbir negeri yang masalah bekalan air bersih tidak berkesudahan.

Ahmad Zahid Hamidi pula merayu orang Kelantan muhasabah. "Lupakan kerajaan 33 tahun, cubalah kami sekali."

Bagi orang Kelantan yang pernah merasai pentadbiran Umno-BN selama beberapa tahun, tidak banyak perubahan yang dilakukan.

Janji pembinaan pelabuhan di Tumpat tidak ditunaikan. Pangkalan tentera udara di Gong Kedak tidak dilaksanakan walaupun ketika itu menteri kewangan dan menteri pertahanan adalah orang Kelantan.

Ahli politik luar Kelantan pula tumpang semangkuk menuduh orang Kelantan enggan menerima pembangunan, selain menyokong parti yang tiada wawasan pembangunan.

Perantau pula gigih pulang ke Kelantan setiap kali mengundi walaupun sebahagian besar masa mereka dihabiskan dengan menikmati keselesaan di negeri lain.

Tidak semestinya samseng

Setiap kali pilihan raya, Kelantan kekal diperkatakan walaupun PAS dengan 'muka sardin' terus kekal berkuasa sejak 1990.

Kecuali pilihan raya negeri (PRN) pada 1978 apabila PAS kalah teruk dengan hanya memenangi dua daripada 36 kerusi, PAS sejak era Nik Abdul Aziz Nik Mat kebal di bumi Cik Siti Wan Kembang.

Sarjana dan saintis politik sering lupa mengkaji hubungan di antara sifat gedebe dan realpolitik Kelantan. Hal ini penting kerana gedebe mencorakkan pemikiran dan sokongan siasah yang akhirnya memberi kekuatan kepada PAS untuk berkuasa di sebalik pelbagai pergolakan dan kelemahan.

Gedebe dalam konteks positif adalah kecekalan dan kerajinan berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Konsepnya ialah memperjuangkan sesuatu demi kepentingan bersama.

Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, A Aziz Deraman, mengaitkan gedebe sebagai 'hanlan' atau 'andalan', iaitu istiqamah dalam perjuangan yang diyakini, menganjurkan kebaikan, berbakti dan berbudi.

Gedebe tidak seharusnya dilihat dalam konteks negatif semata-mata, tetapi juga positif, iaitu bermaksud orang hebat.

Bagi masyarakat Kelantan, gedebe tidak semestinya samseng, bengis dan kurang ajar seperti difahami sesetengah pihak. Gedebe adalah watak santun dan dihormati masyarakat setempat.

Bagi penduduk selatan Thailand terutamanya Narathiwat dan Yala, gedebe dikaitkan dengan seseorang yang rajin bekerja dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Ia juga dikaitkan dengan tok nebe yang bermaksud ketua atau penghulu di sesuatu kawasan.

Mereka berpengaruh dan boleh menentukan sokongan atau keputusan hasil perbincangan bersama. Gedebe juga pendamai dan penggerak dalam masyarakat Melayu Kelantan sejak temurun.

Rakyat dua negara

Tradisi muafakat lahir hasil gerakan gedebe setempat. Hal ini tidak memeranjatkan apabila PAS digerakkan oleh gedebe setempat terutamanya yang aktif dari sistem pondok yang tidak formal.

Melayu Kelantan ada kaitan dengan sejarah dan persaudaraan penduduk di selatan Thailand. Warisan budaya, bahasa dan cara berfikir mereka tidak jauh berbeza.

Ramai yang bersaudara dengan penduduk di selatan Thailand terutama di Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun.

Melayu Kelantan dan Melayu Thailand bukan sekadar berkongsi darah dan warisan, tetapi juga tingkah laku dan sejarah perjuangan serta penentangan yang panjang.

Pascaperang Dingin, gerila Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) menjadi kumpulan pemberontak terbesar di selatan Thailand. Mereka disokong penduduk setempat yang berasa terpinggir daripada arus pembangunan dan pendidikan.

Kehidupan sukar menjadikan mereka mandiri dan aktif di sempadan Thailand-Kelantan yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok. Hubungan tradisi menjadikan gedebe itu suatu survival.

Rakyat dua negara membentuk masyarakat yang tekun dan berani menentang penindasan.

Penduduk selatan Thailand ditindas oleh pemerintah yang bukan Islam; di Kelantan pula ada yang mendakwa ditindas oleh kerajaan pusat yang menafikan hak dan nikmat pembangunan.

Sejak era kerajaan Perikatan dan BN, Kelantan dinafikan hak pembangunan oleh kerajaan pusat. Kemudahan prasarana terbantut dan geran pembangunan sering dialihkan ke negeri lain yang sehaluan dengan kerajaan pusat.

Gedebe politik

Pada 1990 isu royalti minyak menimbulkan polemik apabila pusat memberi wang ihsan kepada Kelantan sebagai ganjaran cari gali petroleum di perairan negeri berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan kemarahan terbuka sebahagian rakyat. Jiwa yang memberontak akhirnya dipindahkan ke kertas undi, lalu mereka memilih PAS sebagai wadah siasah kepartian.

Sejak 1700 Kelantan terkenal dengan tradisi sekolah agama yang mandiri sifatnya. Guru pondok dianggap ikon setempat dan suara mereka didengari. Mereka adalah gedebe yang menguasai massa dengan ilmu tauhid dan syariah.

Pada 1900 pelajar aliran agama yang baru pulang dari Mesir, Jordan, Indonesia dan selatan Thailand merancakkan tradisi pondok. Ia bukan saja menjadi tempat 'menadah' kitab, sebaliknya pusat membentuk penentangan secara halus terhadap penjajah.

Dari situlah lahirnya gedebe politik yang akhirnya menaungi perjuangan PAS sehingga kini.

PAS menguasai Kelantan dalam melalui PRU 1959 dengan tokoh besar seperti Zulkifli Mohamad dan Ahmad Prai. PAS menyertai kerajaan campuran selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga terbentuknya BN pada 1974.

Presiden PAS ketika itu, Asri Muda, dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah. Jawatan tersebut memberi peluang kepada Asri memilih kader PAS dari Kelantan untuk menyertai rancangan pembangunan tanah menerusi Felda, Risda dan Felcra di seluruh negara.

Kesannya, gedebe PAS dari Kelantan menyusup ke tanah-tanah rancangan terutama di Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu.

Jika 50 tahun lalu gedebe PAS hanya aktif membiak di Kelantan, kini mereka menggerakkan saf politik di seluruh Semenanjung Malaysia. Generasi kedua dan ketiga mereka bukan sahaja membina kehidupan di tempat lain, bahkan meneruskan tradisi kerinduan untuk mengekalkan 'kerajaan Islam' di peti undi di bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Bukan menjadi rahsia umum lagi keturunan Kelantan balik mengundi di kampung halaman walaupun sudah puluhan tahun merantau di negeri orang.

Kelantan dan PAS sukar dipisahkan. PAS bukan parti yang sempurna. Ketika rakyat terus dibelenggu masalah seperti kemiskinan, ada wakil rakyat bersedap-sedap bersantai dengan kereta mewah serta rumah agam.

Ketika peluang pekerjaan di Kelantan terbatas, ramai rakyatnya berhijrah. Pemimpin setempat pula mendakwa Kelantan adalah bumi subur dan rakyat perlu hidup sederhana dengan sabar dan tawaduk.

Itulah realpolitik permainan siasah yang sentiasa memakan korban. Rakyat akan menjadi bidak kepada pencatur yang mahir menggunakan al-Quran dan hadis untuk mendapat laba.

Walaupun sudah 15 kali PRU berlangsung, hanya pada era 1978 - 1990 kerajaan berbeza mentadbir Kelantan. Selebihnya adalah 'kerajaan Islam' yang sekadar berceramah dan menjual mimpi di bumi serambi Mekah!


IMLAN ADABI adalah bekas wartawan dan sasterawan.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS