Perdana Menteri menganggap ada yang tidak tepat pada dapatan kajian yang mendakwa hanya seorang daripada empat Melayu di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya esok berpuas hati dengan prestasinya.
Kata Anwar Ibrahim kajian itu dipercayai "cacat" dan tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.
"Saya tidak bersetuju dengan (kajian) itu, ia adalah analisis yang cacat," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu Anwar ditanya pandangannya mengenai dapatan tinjauan yang dijalankan oleh Ilham Centre - pada Julai lalu - yang menemui 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Dalam kaji selidik tersebut hanya 24 peratus responden Melayu berpuas hati dengan prestasi Anwar berbanding 88 peratus dalam kalangan masyarakat Cina dan 81 peratus India.
Secara keseluruhan pula, Ilham Centre mendakwa hanya 42 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Anwar.
Menurut Anwar ada kemungkinan responden yang ditemui itu berada di kawasan tertentu dan tidak menyeluruh.
“Mungkin mereka ambil (responden) dari Kelantan dan bandingkan dengan Selangor.
"Tetapi di negeri kita (ditadbir PH), kita melakukannya dengan sangat baik.
"Saya sangat optimis dalam hal ini,” katanya.
Menurut kaji selidik Ilham Centre juga responden paling ramai tidak berpuas hati dengan Anwar ialah di Kelantan, dengan 90 peratus menyatakan tidak bersetuju, diikuti Terengganu (79 peratus) dan Kedah (73 peratus).
Sebaliknya, kadar responden tertinggi yang berpuas hati dengan ahli parlimen Tambun itu dikesan di Pulau Pinang (70 peratus), diikuti Selangor (62 peratus) dan Negeri Sembilan (62 peratus).