Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin hari ini menghantar surat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Bekas menteri dalam negeri itu berkata ia berikutan dakwaan yang mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.

Kata Hamzah, dakwaan tersebut jelas berunsur fitnah, selain menegaskan dia tiada kaitan dengan kes tersebut.

“Semalam saya dah jumpa peguam saya, maka hari ini satu surat daripada peguam saya telah pun saya hantar kepada Azam Baki dan juga SPRM sendiri serta kerajaan Malaysia melalui peguam saya.

"Dan difahamkan surat tuntutan tersebut telah pun diterima dan kita telah pun memaklumkan bahawa beberapa pegawai kerajaan telah melakukan satu perkara, yang saya maksudnya (sebagai) penyalahgunaan kuasa.

"... dan juga melakukan 'malfeasance in public office' dan menyebabkan saya dianggap sebagai seorang yang melakukan kesalahan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hamzah yang juga ketua pembangkang, berkata surat tuntutan berkenaan dihantar melalui Jabatan Peguam Negara kepada kerajaan Malaysia.

Hamzah berkata, tuntutan tersebut juga dibuat bagi menggesa pihak berkenaan agar segera berhenti segala bentuk tindakan terhadap satu pihak - yang merujuk ahli perniagaan terbabit - selain bertujuan menghentikan tindakan kezaliman yang didakwa dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Kata Hamzah, tindakan “menakut-nakutkan'“ rakyat dan ahli perniagaan dengan menyalahgunakan kuasa penjawat awam boleh menjejaskan keyakinan para pelabur kepada negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Sim, Hamzah mendakwa siasatan yang dibuat disifatkan sebagai satu bentuk kezaliman terhadap orang awam.

Kata Hamzah, SPRM memulakan siasatan ke atas Sim berdasarkan khabar angin yang tidak dapat disahkan dan spekulasi yang diterbitkan melalui laman sesawang dan blog.

“Siasatan telah dimulakan dengan tujuan untuk menyasarkan klien kami. Sim disoal siasat dan diugut oleh pegawai dari SPRM, termasuk disoal siasat sehingga jam empat pagi yang bercanggah dengan peraturan lokap,” dedahnya.

Tambah Hamzah, Sim juga telah diancam dengan tindakan jenayah dan penahanan melainkan dia menyabitkan ahli parlimen Laut itu dengan salah laku.

"Saya lakukan ini (menghantar surat tuntutan) kerana saya merasakan ia satu bentuk kezaliman. Mengapa mereka melakukan sedemikian rupa. Kerajaan yang adil sepatutnya melakukan perkara yang benar, bukan fitnah yang menyebabkan kezaliman sehingga seseorang rasa takut.

"Apabila saya lakukan ini, saya akan terima tekanan SPRM. Tapi saya mahu maklumkan kepada semua, saya lakukan ini supaya tidak mahu kerajaan zalim yang penuh hipokrasi, manipulasi ini boleh menyebabkan ketakutan kepada rakyat serta ahli perniagaan.

"Kalau beginilah caranya, semua ahli perniagaan akan rasa ketakutan. Sesiapa saja yang rapat dengan individu dikenali akan diugut. Kalau boleh berlaku dengan Sim, maka dia boleh berlaku kepada orang luar termasuk pelabur dan ini akan menimbulkan ketakutan kepada pelabur," katanya.

Selain itu, Hamzah turut mendakwa wujud konspirasi oleh sesetengah pihak yang memperalat SPRM.

"Pegawai awam dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan hak-hak perlembagaan rakyat dan tidak seharusnya melanggar hak-hak tersebut.

"Jika anda berterusan melanggar kewajipan dan kewajipan bersumpah perlembagaan anda, kami (wakil peguam) mempunyai arahan daripada anak guam kami untuk segera memulakan prosiding terhadap anda dengan menuntut pampasan bagi kehilangan dan kerosakan kepada anak guam kami, serta untuk melindungi dan membuktikan reputasi anak guam kami," kata Hamzah ketika membacakan teks tuntutan tersebut.

Pada 10 Mei lalu, ahli perniagaan Sim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap empat tuduhan dihadapinya.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga menteri dalam negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2021.

Dia juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan iaitu menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS