Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan bahawa tindakan pihak mereka adalah berlandaskan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dalam melaksanakan fungsinya.
SKMM dalam satu kenyataan berkata fungsinya termasuk menghalang pelakuan atau percubaan melakukan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia.
"SKMM juga bertanggungjawab untuk membantu agensi penguatkuasaan lain dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang seliaan masing-masing," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh komunikasi korporat SKMM malam ini.
“Setelah pelaksanaan tindakan yang diperlukan bagi mencegah perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, perkara tersebut akan disiasat oleh suruhanjaya dan agensi-agensi penguatkuasaan lain.
"Sehubungan dengan itu, suruhanjaya (SKMM) tidak akan dapat memberikan sebarang ulasan sehingga kes-kes berkenaan selesai," katanya..
Kenyataan itu tidak merujuk kepada kes-kes yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, awal hari ini, dua individu - bekas ahli parlimen Wangsa Maju tiga penggal Wee Choo Keong dan pengguna Twitter Salim Iskandar - menuduh SKMM tidak mengikut proses sewajarnya dalam menjalankan fungsinya.
Mereka juga menuduh SKMM hanya bertindak atas arahan daripada polis, dan bukannya membuat penilaian sendiri sama ada untuk menguatkuasakan sekatan atau sebaliknya.
Wee berhujah bahawa dia dinafikan haknya untuk keadilan apabila SKMM tanpa pemberitahuan terlebih dahulu menyekat akses ke laman webnya bulan lepas.
Sementara itu, Salim berkata SKMM sejak Rabu telah menyekat dua nombor telefon bimbitnya tanpa notis awal, lebih sebulan selepas dia menghadapi siasatan polis berhubung ciapan Twitter yang menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Penyokong kebebasan media sejak itu meminta ketelusan yang lebih tinggi daripada SKMM berhubung penyekatan laman web berikutan keputusannya untuk memotong akses awam kepada UtusanTV.
