Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Said didesak berundur terajui Umno Terengganu
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 8:42 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Susulan kekalahan memalukan semua 32 calon Umno kepada Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS di Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu, 12 Ogos lalu, desakan supaya Pengerusi Umno Terengganu berundur semakin lantang.

Antara mereka yang tampil meluahkan demikian adalah Timbalan Ketua Umno Kemaman, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang berkata, bekas menteri besar Terengganu itu perlu bertanggungjawab susulan kekalahan itu.

Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid

“Sudah tiba masanya untuk beliau berundur dan memberi peluang kepada muka baharu menerajui parti supaya ada idea-idea baharu yang dapat menguatkan lagi parti.

“BN negeri perlu dibuat rombakan dan dilakukan ‘rebranding’ dan ‘reengineering’ kerana BN dan Umno Terengganu sangat lemah ketika ini,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Akhbar itu juga memuatkan pandangan seorang pensyarah di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ismail Sualman yang berkata ‘gelombang Melayu’ yang menenggelamkan Umno di Terengganu perlu dianalisis punca sebenarnya. 

Ismail Sualman

“Adakah keputusan buruk Umno di Terengganu disebabkan parti berkenaan terus menampilkan personaliti kitar semula, orang sama setiap kali pilihan raya?

“Perlu didiagnosis atau berpunca permainan cah keting dalam kalangan ahli Umno sendiri?” katanya.

Dia berkata, untuk Umno terus relevan dalam senario politik negara, pembedahan, pembugaran dan penjenamaan semula perlu dilakukan segara.

PN menyapu bersih semua 32 kerusi yang dipertandingkan, Sabtu lalu, sekali gus menyaksikan buat julung kalinya, tiada wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata, Ahmad juga sudah terlalu lama menerajui Umno.

“Di Kemaman sendiri, Ahmad menjadi ketua Umno bahagian sejak tahun 2000, sudah lima kali berlaku pertukaran ketua pemuda namun ketua bahagian tetap individu sama,” katanya.

Bekas menteri besar itu yang bertanding di kerusi DUN Kijal juga gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya selama sembilan penggal.

Mengenai kemenangan besar PAS di Terengganu, Wan Ahmad Nizam berkata, parti itu sudah berjaya mendapat apa yang mereka impikan, justeru mereka perlu mengotakan janji mereka untuk rakyat.

“Sekarang masanya untuk PAS laksanakan hukum hudud seperti yang mereka perjuangkan sebelum ini.

“Keadaan negeri yang tiada pembangkang sebenarnya tidak bagus untuk pembangunan negeri kerana PAS bebas melakukan apa sahaja dan tiada semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri yang akhirnya akan merugikan rakyat,” katanya.

PAS sejak berdekad-dekad silam sering membawa agenda pelaksanaan hudud dalam politik mereka. 

Parti itu diberikan ruang untuk membawa usul rang undang-undang atas kapasiti peribadi - melalui Presiden PAS Abdul Hadi Awang - pada 26 Mei 2016 bagi meminda Akta 355.

Bagaimanapun usul itu hanya dibentangkan namun tidak dibahaskan. Malah semasa PAS menjadi kerajaan pusat pada 2020, tiada sebarang usaha ke arah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS