Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 'cikgu ponteng': Saya adil walaupun dia dua pupu - bekas pengarah

Seorang bekas pengarah pendidikan telah menafikan bahawa hubungan persaudaraannya dengan seorang guru yang didakwa ponteng kelas selama tujuh bulan telah menjejaskan siasatan terhadap guru tersebut.

Maimunah Suhaibul, yang memegang jawatan pengarah pendidikan negeri Sabah pada tahun 2018, memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini bahawa dia telah mengarahkan siasatan terhadap guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamran.

Dia berkata demikian pada perbicaraan kes bekas pelajar Siti Nafirah Siman (gambar, bawah) menyaman gurunya Mohd Jainal Jamran kerana didakwa ponteng kelas.

Maimunah juga berkata dia telah memberikan arahan kepada Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada ketika itu, Muarifin Sufianto Mohchoeri, pada tahun itu selepas mendapat tahu tentang tindakan saman oleh pihak plaintif melalui akhbar tempatan.

Ketika disoal oleh peguam plaintif Shireen Sikayun, Maimunah mengakui Jainal ialah dua pupunya.

Apabila disoal balas oleh peguam kanan persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim, Maimunah menjelaskan walaupun wujud talian persaudaraan dengan Jainal, namun dia tetap menjalankan tugas dengan “adil dan penuh integriti.”

Maimunah ialah saksi plaintif ketujuh dalam kes saman terhadap Jainal yang dibawa oleh bekas pelajarnya Siti Nafirah Siman.

Jainal didakwa gagal mengajar kelas selama tujuh bulan di SMK Taun Gusi, Kota Belud, pada tahun 2018.

Walau bagaimanapun, ketika disoal Shireen, Maimunah berkata dia tidak ingat apa-apa berkaitan hasil siasatan yang dijalankan pada waktu itu.

Maimunah dalam keterangannya juga tidak ingat sekiranya dia telah memberi sebarang arahan kepada ketua bidang bahasa Norhanah Ijek dan kerani sekolah Jati Sidin untuk ke rumah Siti dengan tujuan untuk berbincang supaya menarik kes saman terbabit.

Berdasarkan keterangan Norhanah selaku saksi plaintif keempat, dia mengakui telah mendapat arahan daripada pengarah JPNS untuk menemui Siti bertujuan memujuk supaya dia menarik balik kes saman itu dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Shireen: Saya cadangkan kepada anda apabila anda mendapat tahu tentang saman ini pada tahun 2018, semasa penyiasatan anda telah mengarahkan Jati Sidin, kerani sekolah dan Ketua Bidang Bahasa Norhana Ijek pergi ke rumah Siti Nafirah dengan niat untuk menakut-nakutkannya dan menarik balik saman itu.

Maimunah: Saya tidak ingat.

Shireen: Saya mencadangkan kepada anda apabila Jati Sidin kerani sekolah dan Ketua Bidang Bahasa Norhana Idek, gagal berjumpa dengan Siti Nafirah, anda mengarahkan pihak lain yang bukan dari jabatan untuk menghubungi plaintif Siti Nafirah dan keluarganya untuk menakut-nakutkannya dan menarik balik saman itu.

Maimunah: Saya tidak setuju.

Siti selaku plaintif diwakili oleh peguamnya Shireen manakala guru yang disaman itu diwakili oleh Hafizi yang dibantu oleh peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.

Perbicaraan kes guru ponteng di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berlangsung di hadapan Hakim Datuk Ismail Brahim akan bersambung pada 28 Ogos depan.

Lihat Komen
ADS