Abdul Rahman cabar Anwar buktikan tuduhannya
Bekas Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Rahman Othman mencabar Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan bahawa beliau masih berhubung dengan mana-mana pemimpin Umno.
"Jangan buat tuduhan melulu...berikan bukti dengan pemimpin Umno mana saya berhubung dan banyak mana duit yang saya terima," katanya yang juga ketua PKR bahagian Muar ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa mereka yang mempertikaikan kelayakan bekas timbalan perdana menteri itu untuk bertanding jawatan presiden PKR, sebagai 'desperado Umno dan Barisan Nasional (BN)'.
Dua lagi calon yang bertanding jawatan presiden ialah Abdul Rahman serta penyandang jawatan itu sekarang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam kongres pemilihan parti itu di Seremban, Sabtu ini.
Semalam, Anwar berkata, mana-mana orang yang mempersoalkan pencalonannya bertanding dalam kongres nasional sebagai 'desperado Umno dan BN'.
Anwar mendakwa demikian selepas Abdul Rahman membuat aduan rasmi kepada jawatankuasa pemilihan parti itu (JKP) mengenai kelayakan bekas timbalan perdana nenteri itu bertanding dalam pemilihan parti.
Sebelum ini, Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas menjalani hukuman penjara atas sabitan kesalahan salahguna kuasa.
Perlembagaan parti
Abdul Rahman berkata, Anwar belum menjawab aduannya mengenai peruntukan perlembagaan PKR bahawa bekas timbalan perdana menteri itu tidak boleh bertanding dalam kongres nasional kelak.
Katanya, Fasa 7.1.4 menyebut tanpa menghiraukan peruntukan lain dalam perlembagaan PKR, seseorang ahli tidak boleh dicalonkan atau bertanding untuk memegang sebarang jawatan (jika telah dipilih atau terlantik maka dengan serta merta terlucut dengan sendirinya) jika dia dilarang oleh undang-undang dari memegang jawatan di dalam pertubuhan atau dia dikenakan tindakan disiplin yang melarangnya memegang jawatan.
"Ini bermakna Anwar telah tidak mengikut peraturan PKR yang beliau sendiri menjadi penasihat kepada parti tersebut," katanya.
Abdul Rahman berkata, JKP menghantar jawapan terhadap aduannya dengan mengatakan jawatankuasa itu tidak mahu mengambil tanggungjawab ke atas keputusan Anwar bertanding.
Katanya, peguam Anwar telah menasihatkan JKP, bahawa Anwar boleh bertanding dalam kongres nasional kelak.
"Saya diberitahu oleh JKP bahawa pencalonan Anwar tidak sah tetapi peguam Anwar memberitahu bahawa penasihat parti itu telah mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membolehkan Anwar bertanding," katanya.
Abdul Rahman berkata, beliau bukan mahu menang tanpa bertanding tetapi mempertahankan prinsip parti supaya ahli dan penyokong menjunjung tinggi perlembagaan parti.
ROS enggan ulas
Katanya, Anwar tidak boleh menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mengatasi undang-undang.
"Jika saya mahu membatalkan pencalonan Anwar, saya boleh mendapatkan perintah mahkamah atau menulis surat kepada ROS," katanya.
Abdul Rahman juga mendakwa, Anwar menggunakan kuasa mempengaruhi Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) melalui nasihat peguam supaya menerima pencalonannya bertanding jawatan presiden PKR.
Katanya, MPT dikuasai oleh pelobi-pelobi Anwar menyebabkan mereka tidak berani bersuara walaupun apa yang dibuat oleh bekas timbalan perdana menteri itu tidak betul.
Sementara itu, Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh memberi maklumat ketika ditanya sama ada Anwar telah membuat permohonan untuk mendapatkan pengecualian daripada larangan tersebut.
Malaysiakini berusaha menghubungi Setiausaha JKP, Ahmad Shabrini Mohd Alwi untuk mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan Abdul Rahman itu, tetapi gagal.
Penjelasan Anwar
Sementara itu, dalam reaksinya terhadap aduan Abdul Rahman itu, Anwar menjelaskan melalui pegawainya bahawa beliau telah mematuhi prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh parti sepanjang proses pencalonannya dan oleh itu, tidak timbul soal beliau layak bertanding atau tidak.
"Beliau telah berkomunikasi dengan jawatankuasa pemilihan parti dan telah mendapatkan nasihat peguam serta Majlis Pimpinan Tertinggi," jelas pegawai khas Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi.
"Jika peguam itu menyatakan sesuatu yang berlawanan dengan peraturan, sudah tentu beliau akan mematuhi nasihat peguam tersebut...sehingga ini, beliau akan bertanding," tambah Nik Nazmi.