Memukul kepala seorang gadis dengan kertas seperti yang dilakukan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor baru-baru ini tidak boleh dianggap sebagai gurauan sama sekali, kata Pengerusi Wanita MCA, Wong You Fong.
Sebagai seorang menteri besar, katanya setiap kata atau perbuatan Muhammad Sanusi bakal menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain.
"Menggambarkan tindakannya memukul kepala seorang pelajar gadis dengan kertas sebagai "biasa", akibat daripada kata-kata tersebut, walaupun diucapkan secara berjenaka, mungkin mempunyai kesan yang jauh lebih luas,” ujarnya dalam kenyataan.
Jelas Wong, menteri besar Kedah itu perlu menebus kesilapannya dengan memperkenalkan dasar yang memperkasakan wanita di negeri itu.
“Wanita MCA menyeru Dewan Muslimat PAS, Srikandi Bersatu, dan Wanita Gerakan untuk menyampaikan mesej yang tegas kepada gabungan mereka dengan memberi peringatan kepadanya (Sanusi) bahawa Kedah boleh menjadi jauh lebih maju jika mengangkat martabat wanita dengan sewajarnya.
“Sanusi boleh menebus kesilapannya dengan memperkenalkan dasar untuk memperkasakan wanita di Kedah dalam semua bidang.
“Khususnya menangani keganasan rumah tangga, seksual, gangguan dalam talian, fizikal, keganasan dan menghendap wanita, suami atau bekas suami yang meninggalkan pasangan dan anak mereka serta tidak mengendahkan perintah mahkamah mengenai nafkah, dan lain-lain,” kata Wong.
Semalam Timbalan presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz menegur menteri besar Kedah itu susulan tular rakaman video 'gurauan' Muhammad Sanusi mengetuk kepala seorang wanita dengan gulungan kertas.
Pada video berdurasi 18 saat itu, 'gurauan' Sanusi bersambut gelak ketawa beberapa orang di sekeliling Adun Jeneri itu.
Susulan itu Sanusi mempertahankan tindakannya dan berkata kejadian pada Sabtu itu hanyalah cara bergurau untuk menegur pelajar berkenaan yang lambat memohon bantuan.
"Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu.
"Melawak dengan anak-anak, lagu tu lah cara kami kat kampung ni melawak,” ujarnya.
