Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal: 'Tiada perancangan' mansuh Sosma, akan tambah baik
Diterbitkan:  Aug 23, 2023 10:08 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh, Putrajaya berhasrat menambah baik undang-undang itu dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

"Ia tiada dalam perancangan. Tetapi kita sedang melihat penambahbaikan," katanya kepada pemberita di Putrajaya pagi ini.

Timbalan menteri itu berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk memansuhkan Sosma.

Ramkarpal berkata kementerian telah menyelesaikan kerja asas dalam mengkaji semula akta itu, termasuk sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Walaupun tiada garis masa ditetapkan untuk semakan itu, timbalan menteri itu berkata mereka merancang untuk membawa cadangan daripada sesi libat urus kepada kabinet tidak lama lagi.

"Tiada garis masa seperti itu, tetapi seperti yang saya katakan, kerja lapangan kami sudah siap. Sekarang kami sedang menyediakan ringkasan.

"Pada peringkat ini, kami bercadang untuk mengemukakan dua cadangan utama kepada kabinet untuk penambahbaikan Sosma. Dalam rancangan kami untuk meminda Sosma, penambahbaikan tidak akan dilakukan secara serentak, tetapi mungkin dalam beberapa peringkat," katanya.

Dua cadangan utama itu termasuk menambah baik Sosma dalam soal jaminan, menurut Ramkarpal.

Sosma ialah undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari.

Walaupun kerajaan telah berkata ia merancang untuk mengkaji semula peruntukan Sosma, aktivis hak asasi manusia telah mendesak untuk pemansuhan sepenuhnya.

Bulan lalu, kira-kira 100 ahli keluarga 69 tahanan Sosma melancarkan mogok lapar di luar Penjara Sungai Buloh bagi menuntut pembebasan ahli keluarga mereka, yang dipenjarakan tanpa perbicaraan mahkamah.

Kira-kira 34 tahanan dilaporkan ditahan di Sungai Buloh manakala selebihnya di Alor Setar, Kedah.

Susulan itu, Ramkarpal menggesa mereka supaya terus bersabar kerana kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan terhadap akta itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS